Kerajaan bangun rizab sungai terancam termasuk Sungai Kim Kim

Hasni (kanan) menyertai Program Gotong-Royong Sayangi Kim Kim sempena Hari Air Sedunia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang pada Sabtu.
Hasni (kanan) menyertai Program Gotong-Royong Sayangi Kim Kim sempena Hari Air Sedunia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan akan membangunkan 2,000 kilometer kawasan rizab sungai terancam di Johor, termasuk Sungai Kim Kim melalui Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK).

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, rizab sungai berkenaan akan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi dengan pembinaan denai sungai.

Menurutnya, denai sungai itu merupakan salah satu pendekatan Nature-based-solution (NBS) bagi menangani cabaran sosio-alam sekitar melalui pengurusan dan penggunaan alam yang lestari dan akan dilaksanakan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.

"Dengan adanya denai di tepi sungai, ia akan menggalakkan 'nature based activities' seperti berkelah, memancing dan berbasikal sekali gus menghalang pihak tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa," katanya selepas menyertai Program Gotong-Royong Sayangi Kim Kim sempena Hari Air Sedunia di Sungai Kim-Kim di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Zaini Ujang.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, buat peringkat permulaan, kos memperelokkan dan membina denai di Sungai Kim Kim berjumlah RM500,000.

Hasni (kiri) melihat tong dan kesan hasil buangan di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Sabtu.
Hasni (kiri) melihat tong dan kesan hasil buangan di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, memandangkan Sungai Kim Kim mengalir di kawasan perindustrian, pelaksanaan program denai memerlukan kerjasama dan sumbangan daripada pihak industri terbabit untuk bersama-sama menjayakannya.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun pelaksanaan program ini merupakan inisiatif kerajaan, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat akan menjadi peneraju dengan menjadikan kawasan denai yang terpilih sebagai anak angkat serta melaksanakan pengindahan (penanaman pokok), penyenggaraan (gotong-royong) dan merangka program kesedaran di kawasan denai tersebut," katanya.

Tambah beliau, kerajaan Johor juga telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk membina persekitaran yang bersih dan mesra masyarakat bagi rizab Sungai Kim Kim dengan penglibatan empat institusi pengajian tinggi awam iaitu UTM, UTHM, USIM dan UTeM bagi membina landskap dan denai di sepanjang Sungai Kim Kim bagi manfaat penduduk setempat.

Program yang melibatkan empat IPTA dan beberapa agensi itu dikenali sebagai program University For Society (U4S), yang mana pihak UTM telah menyediakan pelan induk pembangunan Sungai Kim Kim.

Sungai Kim Kim pada suatu ketika pernah terlibat kontroversi kerana berlaku pencemaran yang menjejaskan kesihatan umum dan masyarakat setempat pada Mac 2019.

Sejak itu, pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi berkaitan berusaha mengenal pasti punca pencemaran dan langkah-langkah untuk memantau dan mengawal sungai itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!