Putus hubungan dengan Korea tidak jejas ekonomi negara: Tok Pa
JELI - Ekonomi Malaysia tidak akan terjejas dengan tindakan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hubungan yang lama terjalin dengan negara itu tidak dalam konteks ekonomi.
"Kita jangka tiada ada (tidak terkesan). Kita sudah lama jalinkan hubungan dengan Korea Utara dan Malaysia mahu baik dengan semua negara tetapi dari segi ekonomi amat kecil, tiada langsung... (jadi) ia tidak menjejaskan ekonomi," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Perasmian Penyerahan Projek Siap Pejabat Kesihatan Daerah Jeli yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Ir Radzwan Kasim dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin.
Korea Utara pada Jumaat mengumumkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Langkah itu diambil selepas Kuala Lumpur mengekstradisi seorang rakyatnya ke Amerika Syarikat (AS).
Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan berkata, Malaysia didakwa melakukan 'jenayah yang tidak boleh dimaafkan' kerana menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke AS.
Pada 3 Mac lalu, seorang rakyat negara itu yang dikenali sebagai Mun Chol Myong gagal dalam rayuannya di mahkamah Malaysia untuk mengelak diekstradisi ke AS atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram.
Lelaki itu yang tinggal di Malaysia selama lebih sedekad bersama keluarganya ditahan pada 2019 susulan permohonan ekstradisi dari Washington.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!