Telur tercemar: Keputusan analisis diketahui dalam waktu terdekat

Hasnol Zam Zam (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Outlet Drive Thru Coconut Shake 336 di Bestari Jaya pada Sabtu.
Hasnol Zam Zam (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Outlet Drive Thru Coconut Shake 336 di Bestari Jaya pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Keputusan keseluruhan analisis sampel telur ayam yang dihasilkan sebuah syarikat di Jeram, Kuala Selangor berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) yang dikesan di Singapura dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Agensi terbabit memerlukan beberapa hari lagi bagi memastikan telur keluaran ladang syarikat berkaitan bebas SE," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Outlet Drive Thru Coconut Shake 336 di Bestari Jaya di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai arahan penarikan telur itu oleh Singapura turut menjejaskan bekalan berkenaan bagi pasaran domestik, Hasnol Zam Zam berkata, secara umum telur di pasaran Malaysia masih selamat.

Katanya, setakat ini isu telur tercemar hanya berbangkit di Singapura membabitkan satu ladang yang memang khusus untuk tujuan eksport ke negara terbabit.

"Masalah ini hanya membabitkan sebuah ladang manakala ladang lain untuk pasaran domestik tidak terlibat dengan kewujudan SE seperti ditemui oleh pihak berkuasa Singapura," katanya.

Hasnol berkata, kementerian berkaitan akan terus membuat ujian secara berkala bagi memastikan bekalan telur tempatan selamat dimakan.

"Apabila ada isu berlaku, pihak kementerian akan memaklumkan kepada masyarakat termasuk sekiranya terdapat keperluan penarikan telur di pasaran domestik," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Singapura tarik balik telur punca penyakit dari Malaysia

Periksa semua ladang ternakan ayam dan itik: CAP

Telur tercemar: MAFI dapatkan laporan penuh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!