Chelsea waspada ancaman Porto

Thomas Tuchel
Thomas Tuchel
A
A
A

CHELSEA tidak mahu memandang rendah keupayaan kelab Portugal, Porto yang bakal menjadi lawan mereka pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara bulan depan.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berkata, The Blues perlu sentiasa berwaspada dalam aksi timbal balik itu nanti selepas menyedari keampuhan Porto ketika menyingkirkan gergasi Itali, Juventus pada pusingan 16 terbaik sebelum ini.

“Pertama sekali, saya gembira kami akan bermain tanpa menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) lain kerana Liga Juara-juara adalah kejohanan yang mana saya lebih cenderung menentang pasukan dari negara yang berbeza.

“Keduanya, kami akan beraksi pada perlawanan kedua di tempat sendiri. Ini sesuatu yang baik apabila bermula di tempat lawan dan kemudian mungkin kami mendapatkan sedikit kelebihan untuk menyempurnakan tugas di tempat sendiri,” katanya.

Atas kertas, Chelsea yang telah meraih lima kemenangan ke atas Porto dalam lapan pertemuan sebelum ini dijangka menghadapi tugas mudah ke peringkat separuh akhir selepas tampil cemerlang di bawah kendalian Tuchel pada Januari lalu.

Tuchel yang berjaya membimbing Paris Saint-Germain (PSG) mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu kini masih memegang rekod bersih apabila Chelsea tidak pernah kalah dalam 13 perlawanan sejak dia menggantikan Frank Lampard.

“Jelas ramai orang akan mungkin meletakkan kami sebagai pasukan pilihan menentang Porto. Namun, itu sama sekali tidak membantu kami kerana semua itu berkait rapat dengan persembahan kami.

“Saya berasa yakin kami akan menghadapi pasukan lawan yang kuat. Jadi kami akan menentang mereka dengan sepenuh penghormatan. Kami berfikir tentang bagaimana untuk mencipta kemenangan dalam kedua-dua aksi itu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!