Kalimah ALLAH: Aziz Bari lapor polis
IPOH - [DIKEMAS KINI] DAP Perak membuat laporan polis susulan tular poster mendakwa parti itu terlibat dalam keputusan penggunaan kalimah ALLAH yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.
Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, laporan dibuat supaya polis menyiasat pihak yang terlibat menyediakan poster yang memaparkan dirinya bersama dua lagi individu sebagai afidavit dalam kes itu.
"Saya menerima satu poster menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan DAP punca kalimah ALLAH digunakan oleh bukan Islam.
"Saya menjangka perkara ini akan terus panas kerana sudah ada pihak yang memainkan isu ini dalam Facebook.
"Ada juga satu pemilik akaun menghentam seolah-olah saya jadi jaguh orang bukan Islam," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh di sini pada Sabtu.
Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi menegaskan, DAP tidak terlibat dalam kes itu dan afidavit dikemukakan atas kapasitinya sebagai Pakar Perlembagaan.
"Ini bukan kes DAP. Saya berikan afidavit lima tahun lepas sebelum saya datang ke sini (Perak) dan bukan sebagai pimpinan DAP.
"Saya minta polis siasat siapa yang cuba mengaitkan DAP. Ini jelas satu helah politik dan DAP tegas mempertahankan Islam sebagaimana disebut dalam Perlembagaan.
"Jadi kenapa DAP ditonjolkan sebagai dalang dalam perkara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!