Budak perempuan lemas di Sungai Mas

Mangsa yang lemas di Sungai Mas, Sungai Lembing dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing selepas diselamatkan, namun disahkan meninggal dunia.- Foto JBPM Pahang
Mangsa yang lemas di Sungai Mas, Sungai Lembing dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing selepas diselamatkan, namun disahkan meninggal dunia.- Foto JBPM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang budak perempuan berusia 12 tahun lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Mas, Sungai Lembing di sini pada pagi Sabtu.

Mangsa, Nur Syakirah Shahrizan yang diselamatkan penduduk kampung disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, dua adik mangsa turut lemas namun kedua-duanya berjaya diselamatkan bapa mereka.

Menurutnya, pasangan guru berusia 41 dan 40 tahun dari Inderapura di sini bersama enam anak mereka termasuk mangsa datang ke lokasi itu untuk berkelah dan mandi sempena cuti hujung minggu.

"Mereka tiba di lokasi kira-kira jam 9.30 pagi sebelum mangsa bersama dua adiknya turun mandi 45 minit kemudian.

"Ketiga-tiga mereka dihanyutkan arus dan lemas, namun kejadian itu disedari bapa dan dua daripada mereka sempat diselamatkan," katanya.

Mohamad Noor berkata, mangsa yang tenggelam ditemui kira-kira 10 minit kemudian selepas usaha mencari dilakukan dengan bantuan penduduk.

"Mangsa diserahkan kepada bapanya sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing namun disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!