UMNO bukan lagi pembuat dasar: Ahmad Zahid
SHAH ALAM - UMNO bukan lagi pembuat dasar seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, jika Barisan Nasional (BN) masih mentadbir negara, UMNO boleh terus mengambil tindakan sewajarnya terhadap sesuatu isu.
“Benar segelintir ahli Parlimennya menganggotai kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun saya percaya mereka tidak boleh membuat keputusan atau dasar secara individu.
“Walaupun mereka maklum apa-apa isu dibangkitkan UMNO, sebarang ketetapan masih perlu dibuat melalui kerajaan PN yang didominasi pimpinan parti lain,” katanya melalui siaran di Facebooknya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan tiga sebab UMNO boleh terus membangkitkan isu berkaitan rakyat dan negara.
“Pertama, kerajaan yang mentadbir negara hari ini adalah kerajaan PN, bukan kerajaan BN atau Muafakat Nasional (MN).
“Kedua, UMNO bukan sebahagian kerajaan PN. UMNO cuma menyokong pembentukan kerajaan PN.
“Ketiga, media sosial antara platform UMNO untuk menyuarakan permasalahan rakyat dan negara terutama pada waktu Parlimen terus digantung,” katanya.
Katanya, ia menjadi tanggungjawab UMNO sebagai parti keramat agama, bangsa dan negara dalam mengetengahkan segala isu yang memanfaatkan rakyat dan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!