Masjid Nabawi dibuka solat tarawih
MADINAH - Para jemaah dibenarkan menunaikan solat tarawih di Masjid Nabawi sepanjang Ramadan ini, tetapi mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan berjaga-jaga Covid-19, lapor Saudi Gazette.
"Solat tarawih akan dilakukan di Masjid Nabawi semasa bulan suci Ramadan bersama solat lima waktu," kata Presiden Pejabat Pentadbir Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais sambil mengumumkan rancangan presiden semasa bulan Ramadan nanti.
Katanya, rancangan itu meliputi program, sasaran, alternatif, kecemasan dan pengurusan krisis untuk bulan Syaaban dan Ramadan serta cuti Aidilfitri.
Tambahnya, rancangan terbabit akan disusun dengan teliti sambil mempertimbangkan kesan perintah terkini tentang program dan matlamat serta jumlah jemaah dan pengunjung yang keluar masuk Masjid Nabawi.
"Musim pada tahun ini adalah luar biasa di tengah-tengah pandemik Covid-19, selain mengehadkan jumlah kehadiran jemaah, seiring dengan langkah pencegahan," kata Dr Abdulrahman.
Sebagai sebahagian daripada rancangan, Masjid Nabawi akan ditutup selama setengah jam selepas solat tarawih dan akan dibuka semula sebelum Subuh kecuali pada 10 malam terakhir Ramadan, ia akan dibuka 24 jam.
Jumlah kapasiti jemaah sepanjang bulan Ramadan dihadkan 60,000 orang pada satu masa dan berdasarkan langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan.
Masjid Nabawi mempunyai keupayaan operasi untuk menampung maksimum 45,000 jemaah sementara ruang baru di bahagian barat dapat menampung 15,000 jemaah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!