Speaker perlu bersuara pertahan hak Parlimen bersidang: Hannah

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bersuara mempertahankan hak Parlimen bersidang.

Beliau menggesa Speaker Dewan Rakyat kembali mempertahankan kebebasan Parlimen dan hak untuk ahli Parlimen bersidang.

Menurutnya, ia juga bagi membolehkan ahli Parlimen berbahas dan menyemak akauntabiliti pentadbiran kerajaan yang kini didakwa memberi kesan negatif kepada rakyat.

"Selepas pengumuman kebenaran kehadiran penonton ke stadium dan pembukaan bazar, berita pembukaan persidangan Parlimen masih belum kita dengar.

"Kita semua tertanya-tanya dimanakah suara Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya menyuarakan dan mempertahankan hak Parlimen untuk dibuka dan kembali bersidang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat sepatutnya lebih memahami tujuan dan fungsi Dewan Rakyat sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang.

"Apabila ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai ruang untuk membahaskan undang-undang yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan, rakyat akhirnya menjadi mangsa dan terpaksa berdepan dengan keputusan Kabinet.

"Antaranya memperkenalkan garis panduan penetapan nilai dan kadar pengurangan selepas arahan mengenakan kompaun RM10,000 dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa persidangan Parlimen, penguatkuasaan undang-undang separuh masuk seperti ini tidak dapat dibahas dan diperhalusi oleh ahli Parlimen," katanya.

Hannah berkata, kemuliaan dan kedaulatan institusi pembuat undang-undang ini wajar dipertahankan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 Mac berkata, kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Katanya, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!