Pelik tiada bunyi batuk, rupanya jiran dah meninggal...
SUNGAI PETANI - Anggota Bomba Sukarela Sungai Petani terpaksa memotong pintu bilik seorang lelaki di Jalan Pergam, Pekan Lama bagi mengeluarkan mayat warga emas yang sudah mereput.
Tindakan itu bagi membolehkan mayat mangsa yang ditemui di bahagian belakang dikeluarkan dengan segera selain memudahkan urusan pihak berkuasa menjalankan siasatan berikutan ruang pintu yang kecil akibat kawasan yang terhad.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, lelaki berusia 70-an itu disedari tidak sedarkan diri setelah panggilan dari luar rumah tidak berjawab kira-kira jam 3 petang semalam.
Menurutnya, sebelum sambutan Tahun Baharu Cina lalu, dia ada berkomunikasi dengan lelaki itu yang tinggal berseorangan dalam rumah terbabit.
Pada sebelah malamnya pula, dia ternampak kelibat dua individu memanggil dari luar rumah lelaki berkenaan, namun tiada jawapan menyebabkan mereka berlalu pergi.
Kematian warga emas itu bagaimanapun disedari jiran bersebelahan yang khuatir dengan keadaan mangsa setelah tiada lagi kedengaran bunyi batuk dari lelaki itu seperti kebiasaan.
"Selepas panggil pun dia tak jawab, jadi depa beritahu anaknya yang tinggal berdekatan untuk balik," jelasnya.
Pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati mangsa tidak sedarkan diri dengan keadaan terbaring dipercayai meninggal sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan fizikal mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan mengerahkan anggota ke lokasi bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!