Hanya 8 peratus sumbangan Bumiputera dalam KDNK

Mohd Redzuan (kiri) dan Aziz pada sidang media Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) 2018, di Dewan Jubli Perak, hari ini.
Mohd Redzuan (kiri) dan Aziz pada sidang media Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) 2018, di Dewan Jubli Perak, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Golongan usahawan Bumiputera hanya menyumbang lapan peratus iaitu kira-kira RM104 juta dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa kini.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, jumlah berkenaan terlalu rendah berbanding nilai keseluruhan KDNK iaitu RM1.3 trilion walaupun banyak program dan langkah pembangunan usahawan dilakukan untuk kaum bumiputera, khasnya golongan muda.

"Dua perkara yang perlu ditekankan dalam diri seorang usahawan adalah disiplin dan kreatif. Usahawan Bumiputera hari ini saya lihat mereka ramai, ada bisnes tetapi tidak mahu sahut cabaran untuk dikembangkan dengan lebih meluas.

"Ada usahawan yang saya jumpa, bisnes ada, cukup untuk keluarga tetapi mereka tidak mahu mencabar diri, memperluas dan lupa kepada sekeliling yang mereka sebenarnya boleh pergi lebih jauh sehingga membawa kepada sumbangan KDNK,” katanya pada sidang media Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) 2018, di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Dalam konvensyen tersebut hampir 1,000 usahawan berhimpun dan menyertai sesi dialog bersamanya, Ketua Setiausaha MED, Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah.

Mohd Redzuan berkata, usahawan perlu ada elemen disiplin dan membudayakan diri untuk berdaya saing serta menetapkan hala tuju bagi menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, serta kreatif dengan penggunaan media sosial.

"Jumlah usahawan Bumiputera di bawah SME ketika ini hampir satu juta iaitu 970,000 orang dan sumbangan lapan peratus itu boleh dikatakan masih terlalu rendah. Bajet 2019 sebanyak RM4.5 bilion diperuntukkan ke arah meningkatkan sumbangan usahawan Bumiputera dalam bentuk dana geran dan pembiayaan untuk membantu mereka melonjakkan diri dalam perniagaan diceburi. Ini tidak termasuk sumbangan menerusi badan berkaitan kerajaan (GLC).

“Pelaksanaan konvensyen seperti ini diadakan di sembilan lokasi lain sebelum ini termasuk Sabah dan Sarawak. Pahang adalah lokasi ke 10 sebelum beralih ke Terengganu pada 16 Februari ini. Konvensyen dan sesi dialog ini adalah inisiatif dan komitmen MED untuk mendapatkan pandangan, idea serta maklumat berhubung pelbagai isu dan cadangan penambahbaikan bagi memperkasakan pembangunan usahawan tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berpandangan tidak wajar menyalahkan kerajaan terdahulu dalam kekurangan sumbangan usahawan Bumiputera, namun melihat masih ada penambahbaikan yang boleh dilakukan kepada dasar yang dilaksanakan sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!