Program ziarah Finas prihatin tetap diadakan meskipun PKP: Saifuddin
KUALA LUMPUR - Program Ziarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prihatin tetap dijalankan meskipun negara kini dalam Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) Bersyarat atau PKP Pemulihan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, program tersebut berlangsung tanpa publisiti dan pihak penganjur juga akur kepada prosedur operasi standard (SOP) dan meminta kebenaran polis untuk menziarahi individu sasaran.
"Sebenarnya Program Ziarah Finas ini berjalan sepanjang masa, saya sahaja yang turun (turun padang) sesekali tetapi Pengerusi (Zakaria Abdul Hamid), CEO (Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri) dan ahli-ahli lembaga mereka selalu pergi.
"Masa PKP pun sebenarnya mereka turun tetapi tiadalah publisiti sebab orang-orang lama (veteran) harus diziarah tidak kiralah masa PKP. Cuma tiadalah ramai-ramai, pergi seorang dua... yang penting, misal kata kalau ada yang uzur, meninggal dunia itu tetap diziarah," katanya dalam Program Ziarah Finas Prihatin 3.0 di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, program itu adalah sebahagian daripada cara Finas mengiktiraf seniman serta seniwati veteran yang banyak berjasa kepada negara dalam industri kreatif.
"Mudah-mudahan ziarah ini dapat sedikit sebanyak membantu mereka (seniman serta seniwati veteran) dan juga menyuntik semangat kepada orang-orang filem yang muda bahawa kita (kerajaan) memang nak bangunkan industri filem ini dengan lebih baik, sistematik untuk kejayaan pada masa depan," katanya.
Beliau melawat pelakon veteran iaitu Datin Normala Omar dan A. Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad, sebelum menziarahi penyanyi veteran Aspalela Abdullah, kesemuanya di rumah-masing masing di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!