'Beri ruang sepenuhnya kepada mahkamah adili kes Nik Khatijah'

Laporan Sinar Harian pada 19 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian pada 19 Mac lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) meminta semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengadili kes pembunuhan Nik Khatijah Nik Mud.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, orang ramai khususnya ahli pertubuhan itu diminta bersabar sementara menanti prosiding kes selesai di mahkamah.

Beliau juga meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum pasti bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada perjalanan prosiding kes membabitkan Pengurus Jabatan Advokasi pertubuhannya itu.

"Ikram berasa amat dukacita atas tragedi yang menimpa Almarhumah dan akan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam memastikan keadilan kepada semua dapat ditegakkan.

"Pada masa sama, Ikram sentiasa percaya bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah oleh mahkamah, dan meyakini masyarakat dapat berpegang kepada prinsip yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd Parid, pihaknya juga mengikuti secara dekat berita mengenai kakitangan Ikram yang telah dituduh di Mahkamah Majistret Kajang dalam kes kematian Nik Khatijah.

Katanya, Ikram memandang serius atas apa yang berlaku dan akan berusaha bagi memastikan kebajikan kedua-dua belah pihak terpelihara.

"Marilah kita sama-sama berdoa kepada ALLAH SWT memohon agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan membunuh Nik Khatijah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap Hasbullah Ismail, 57, yang juga rakan sekerja mangsa dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes kematian kakitangan Ikram itu yang ditemui dengan kesan jerut pada lehernya di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang di sini.

Lelaki berkenaan ditahan di sekitar Kajang pada jam 8.45 malam hari sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!