PAU UMNO untuk siapa?
SEMAKIN hampir dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang dijadualkan 27 dan 28 Mac 2021, semakin sensasi isu dalaman dan lua-ran parti. UMNO barangkali akan catat sejarah mengadakan dua PAU termasuk PAU 2021 yang ada pemilihan, bersesuaian dengan ketetapan yang dibuat Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi penghujung tahun ini.
UMNO masih merupakan parti siasah yang struktur dan institusi parti menjadi tumpuan berdasarkan kepada sejarah penubuhan, pencapaian serta kepimpinan. Legasi atau survivalitas ini perlu dirungkai oleh UMNO. Institusi kepresidenan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menjadi telapak kepada masa depan parti.
PAU kali ini penting jika ia yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Bersediakah UMNO, jentera dan orang UMNO? Kuatkah UMNO tanpa rakan kolaboratif atau memerlukan gandingan lama mahupun menerokai yang baharu?
Untuk bergerak ke hadapan, sebagai parti yang masih mesra kepada kerajaan dan bertanggapan perlu menjadi tunjang kepada parti-parti lain, ia perlu kenal pasti isu sebenar.
Kegagalan untuk meluruskan kesilapan PRU13 dan PRU14 akan menyebabkan UMNO berdepan kemelut yang tiada kesudahan. Kepimpinan, strategi dan penjenamaan serta pemasaran penting kali ini.
UMNO harus mengambil peluang dengan teliti dan elak eksploitasi. Manipulasi situasi mengikut keadaan semasa. Keperluan, kemahuan dan pemetaan penyokong serta massa perlu dihalusi dan dihadapi dengan intervensi dan penambahbaikan pendekatan mereka.
Yang penting, UMNO mesti membuat keputusan yang mempamer kekuatan dalaman, peneguhan dengan kekariban ikatan luaran dan kewibawaan kepimpinan. PAU bertanggungjawab mewartakan keputusan mesyuarat bahagian awal Januari 2021.
Jika tiada kerjasama dengan Bersatu kekal, maka UMNO perlu memastikan ia tidak menjejas kredibiliti kerana sebahagian anggota Kabinet datangnya daripada UMNO.
Pembubaran
Andainya keputusan adalah menolak Perikatan Nasional (PN) selepas pembubaran Parlimen, ia juga perlu pastikan keputusan untuk kekal sehingga tempoh masa tersebut tidak akan beri impak negatif kepada parti. Begitu juga dengan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) kerana kehangatan hubungan dengan Pas seolah-olah dingin kebelakangan ini.
Adakah UMNO menunggu Pas membuat keputusan menarik diri memandangkan kesannya besar dalam kalangan pengundi Melayu-Islam.
Malah, kini banyak diperkatakan tentang kerjasama antara UMNO dan PKR. Siapakah yang mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan pilihan kepada UMNO? Adakah ia dipelawa atau UMNO sendiri berhasrat untuk melihat kepada opsyen lain.
Penjajaran politik sudah berlaku, namun jika ia sedang bergerak ke arah ‘gabungan induk’, sebarang syarat kerjasama akan mempengaruhi sikap, pilihan dan penerimaan ke atas usaha ini, melainkan ada kejujuran berpolitik.
Hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid sememangnya kekal lama walaupun berseteru seketika. Adakah ini akan membawa kepada berakhirnya PH jika dibuat tanpa DAP dan Amanah. Tamparan adalah ke atas kluster bekas ahli PKR dalam PN jika ini berlaku kerana UMNO juga masih bersama PN.
UMNO banyak melihat kepada pilihan di luar kerangka sedia ada. Bagaimanakah UMNO dan ahli BN? Adakah keazaman untuk mengekalkan kerjasama MN atau menerokai kolaboratif bersama PKR senada dengan keinginan membina semula BN? Logo BN barangkali akan masih menjadi pilihan parti tetapi sejauh manakah ia diperkuatkan dengan ekosistem dinamika politik yang semakin hari semakin rancak dengan pelbagai pendekatan dan metodologi.
Kesiapsiagaan UMNO melalui PAU ini signifikan untuk menelusuri politik tanah air yang semakin mencabar. Kedudukan politik juga barangkali tidak sama. Penggabungan akan menjadi satu tema besar tetapi ‘penggabungan dengan siapa’ perlu diputuskan dari awal. Pembelotan boleh berlaku tatkala posisi parti dipelbagaikan, namun UMNO perlu realisitik jika ketetapan untuk menjadi dominan adalah agenda utama. ‘UMNO untuk siapa’ boleh dirungkai pada PAU kali ini untuk kelangsungan parti siasah itu.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!