Rendahkan ego demi Melayu
MENJELANG Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 minggu hadapan, dilema kerjasama politik antara parti-parti politik yang berideologi agenda Melayu kebangsaan dan Islam masih berterusan.
Setelah 22 bulan berkeluh kesah menyalahkan pentadbiran Pakatan Harapan terutama DAP dalam hal agenda bumiputera dan Islam, akhirnya ALLAH mentakdirkan UMNO dan Pas menjadi sebahagian kerajaan. Namun, ketika diharap panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Pada awal tahun ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO akan menarik diri daripada kerajaan menjelang penghujung Januari 2021 bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal.
Bagaimanapun, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sehari kemudian menetapkan agar usul 'Memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)' dibahaskan dalam PAU 2020 bukannya diputuskan oleh MKT UMNO.
Sesuatu yang aneh berlaku sebulan kemudiannya. Mesyuarat MKT UMNO dua minggu lalu membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15. Ia sangat bertentangan dengan keputusan mereka pada Januari lalu untuk menyerahkan kepada PAU 2020.
Ketergesaan
MKT UMNO mendahului PAU 2020 sangat mengelirukan. Mengapa begitu tergesa-gesa membuat keputusan itu dalam keadaan PAU 2020 hanya beberapa minggu lagi.
Lebih menimbulkan syak wasangka adalah kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah mengadakan beberapa perundingan dengan pemimpin UMNO. Ia menguatkan desas-desus sebahagian pemimpin UMNO sedang membina jajaran politik baharu.
Ahli UMNO seramai tiga juta orang hanya mewakili 1/3 pengundi Melayu berjumlah sembilan juta orang. Jika tidak diurus dengan baik, persepsi baki 2/3 orang pengundi Melayu lagi, ia mungkin menjejaskan peluang UMNO kembali menjadi parti dominan pada masa hadapan.
Namun, adalah tidak wajar juga untuk memaksa UMNO mengadakan kerjasama dengan Bersatu jika perundingan kerusi yang dibuat gagal mendapat persetujuan bersama.
Sudah tiba masanya UMNO dan Bersatu perlu sama-sama membuang ego dan mencari titik persefahaman. Ingatlah, ikatan politik ini dibina bukan kerana mahu menaikkan sesiapa atau menjatuhkan sesiapa tetapi untuk agenda lebih besar demi orang Melayu dan agama Islam.
Kegagalan berunding sehingga menyebabkan pertandingan tiga penjuru yang menguntungkan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang sukar diterima orang Melayu yang tidak berparti.
Lebih berbahaya jika orang Melayu melihat keputusan UMNO itu adalah untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri dan mengembalikan DAP dalam pentadbiran kerajaan.
Pembuli
Justeru, ketika UMNO tidak boleh membiarkan mereka dibuli, mereka juga tidak harus dilihat sebagai pembuli yang merugikan orang Melayu. Kembalilah ke meja perundingan supaya tragedi Mei 2018 tidak diulangi sekali lagi.
Sebagai parti terbesar orang Melayu, UMNO akan sentiasa berhadapan penghakiman teliti dan ketat oleh rakyat. Kompas moral diletakkan kepada UMNO lebih tinggi berbanding parti lain kerana ia antara parti utama dalam harapan orang Melayu.
Risiko menjadi parti terbesar adalah orang Melayu sedia mengubah haluan kerana kecewa dengan UMNO, bukannya kerana lawan lebih baik. Jadi, bagaimana UMNO menentukan hala tuju dalam kemelut politik ini akan menjadi tumpuan semua pihak.
Orang Melayu akan lebih menghormati dan menyokong UMNO jika parti itu mampu merendahkan ego, menolak kepentingan peribadi dan menunjukkan kematangan berpolitik dalam memenuhi agenda besar mereka.
Ingatlah, dalam PRU persepsi pengundi antara perkara tersangat penting. Pisau dan mentimun di tangan perwakilan PAU 2020 sama ada mahu menjadi naga menghembus api sebagai parti terbesar atau menjadi seperti ular yang menyusur akar.
Sebaiknya PAU 2020 harus berani mengambil keputusan supaya pintu rundingan dengan Perikatan Nasional jangan ditutup. Tidak rugi apa-apa pun berunding dan berbincang, berbanding membuat keputusan semberono berdasarkan hal titik bengik.
Perhimpunan ini akan menjadi medan orang Melayu menilai sejauh mana UMNO mahu kembali sebagai sebuah parti yang disegani kerana idealisme perjuangannya, bukan parti yang hanya menjaga kepentingan peribadi pemimpin.
* Ab Jalil Backer ialah Presiden Persatuan Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!