Kurangkan beban denda ingkar SOP

No Image Caption
A
A
A

KETIKA pandemik, rakyat Malaysia dihimpit dengan pelbagai kos sara hidup, malangnya pelaksanaan peraturan tidak setimpal itu hanya merumitkan lagi kehidupan mereka.”

Hukuman kompaun diimplementasikan sepanjang pandemik Covid-19 di Malaysia menerima tohmahan bahawa ia membebankan kelangsungan hidup lebih 32 juta rakyat di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah mengkritik bayaran kompaun yang dikenakan itu adalah antara paling tinggi di dunia.

Kolum lidah pengarang akhbar harian, Malaysia Nanban turut membidas jumlah bayaran ditetapkan itu sememangnya tidak adil dan kurang realistik.

Malaysia Nanban menjelaskan bahawa hukuman berkenaan diperkenalkan dan dilaksanakan sebagai langkah untuk mencegah serta mengawal ancaman pandemik Covid-19 tempatan.

Dengan adanya peraturan ketat seumpama itu, orang ramai tidak berani melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tambahan pula, perkara itu juga sudah dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan bahawa individu yang melanggar SOP ditetapkan akan dikenakan hukuman kompaun maksimum RM10,000 bermula 11 Mac lalu.

Bagaimanapun, Malaysia Nanban menyifatkan jumlah bayaran kompaun melibatkan kos ribuan ringgit itu agak keterlaluan dan meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya mengkaji semula pelaksanaan denda serta bayaran tersebut. Sebelum ini, hukuman kompaun dan bayarannya ditetapkan pada kadar RM1,000 sahaja, sebaliknya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terbaharu telah menggandakan lagi kos itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut akhbar harian itu lagi, ketika pandemik, rakyat Malaysia dihimpit dengan pelbagai kos sara hidup, malangnya pelaksanaan peraturan tidak setimpal itu hanya merumitkan lagi kehidupan mereka.

Malaysia Nanban mendakwa, pelaksanaan hukuman kompaun tersebut lebih tertumpu kepada rakyat jelata sahaja, ironinya figura politik mahupun pegawai kanan kerajaan terlepas daripada hukuman bayaran denda itu.

Jadi, kerajaan PN wajar memastikan pelaksanaan peraturan dan undang-undang perlu bersifat saksama supaya mana-mana pihak tidak mendapat layanan istimewa serta kelonggaran.

Ujar Malaysia Nanban lagi, pihak kerajaan boleh mencari langkah alternatif selain baya-ran kompaun, misalnya meminta individu yang didapati bersalah melanggar peraturan SOP untuk membuat kerja-kerja amal yang ditetapkan.

Dalam pada itu, rintihan rakyat mengenai beban baya-ran kompaun telah membuka sanubari pihak kerajaan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengumumkan pada 17 Mac lalu bahawa ada pengurangan nilai kompaun berdasarkan tiga kategori kesalahan.

Bukan itu sahaja, individu dikenakan kompaun juga mendapat tawaran potongan sebanyak 50 dan 25 peratus sekiranya bayaran denda dibayar pada tempoh tujuh serta 14 hari bagi kesalahan yang kecil.

Namun, kesalahan melibatkan risiko penularan yang tinggi masih ditetapkan bayaran kompaun sebesar RM10,000 mahupun RM50,000.

Malaysia Nanban mengesyorkan kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan kompaun dan bayaran serta memperkenalkan denda lebih rendah di bawah RM1,000 yang tidak membebankan rakyat jelata.

* Jegatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!