Banduan lolos di Kluang diberkas semula
KLUANG - Seorang banduan yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Reintergrasi di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau, di sini pada Sabtu berjaya ditangkap semula.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, banduan tersebut berjaya diberkas di kawasan perumahan Ladang Cattle Queen Padang Hijau tidak jauh dari kem berkenaan.
"Tangkapan ini adalah hasil maklumat orang awam yang melihat seorang lelaki berlegar-legar di kawasan tersebut.
"Banduan tersebut merupakan pesalah yang telah dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) pada 25 Februari lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Dalam kejadian pada jam 4.50 petang Sabtu, empat banduan lelaki melarikan diri sebelum pegawai warden memaklumkan perkara itu kepada polis.
Tiga banduan berjaya ditangkap semula manakala seorang tahanan lagi berjaya melarikan diri sebelum berjaya diberkas semula beberapa jam selepas itu.
Mereka merupakan banduan yang sudah dituduh di mahkamah dan dihantar ke PLKN untuk tapisan keselamatan Covid (PTP) untuk 14 hari sebelum dihantar ke Ulu Choh, Pontian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!