Polis dalam proses lengkapkan siasatan kes ahli politik cabul wanita
AMPANG - Polis dalam proses melengkapkan siasatan kes cabul ahli politik bergelar Datuk terhadap seorang wanita di sebuah rumah di Taman Melawati, di sini tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, laporan telah dibuat mangsa berusia 48 tahun pada Selasa lalu mendakwa kejadian terbabit berlaku sekitar Julai atau Ogos tahun lalu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek seorang ahli politik bersama isterinya datang dan bermalam di rumah mangsa.
"Pada awal pagi, semasa mangsa sedang tidur di ruang tamu tingkat satu, tiba-tiba tersedar dan merasai dirinya dicium dan payudara telah diramas.
"Setelah suspek berusia lingkungan 50an itu menyedari mangsa tersedar daripada tidur, suspek terus turun ke bawah untuk pulang bersama isterinya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa takut membuat sebarang aduan polis selama ini kerana bimbang akan merosakkan hubungan di antara dirinya selain suspek adalah seorang ahli politik yang berpengaruh di sebuah negeri di pantai timur Semenanjung.
Katanya, setakat ini belum ada sebarang tangkapan dijalankan.
"Kita masih dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
"Jika disabitkan salah, boleh dikenakan penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!