Ancelotti tidak kesal Everton gagal ke separuh akhir
BIARPUN Everton tewas 0-2 kepada Manchester City di Goodison Park pada awal pagi Ahad, ia langsung tidak menimbulkan kekesalan buat pengendali Everton Carlo Ancelotti kerana baginya City adalah kelab terbaik di dunia.
Menurut Ancelotti, biarpun berjaya mengekang asakan-asakan pelawat selama lebih 80 minit, namun akhirnya Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne masih sempat menjaringkan gol dan memastikan kemaraan The Citizens ke saingan separuh akhir.
“Kami semakin hampir (separuh akhir), kami telah beraksi baik dan mendominasi perlawanan ini dan berjaya memastikan mereka tidak selesa pada perlawanan ini, namun sebaliknya mereka nyata selesa beraksi kali ini.
“Walaupun tewas, saya sungguh berpuas hati kerana kami ditewaskan oleh kelab terbaik di dunia.
“Bagi saya, ya, mereka (City) adalah yang terbaik, termasuk dengan memiliki pemain-pemain terbaik di bangku simpanan,” katanya.
Sementara itu Ancelotti menegaskan, kekalahan kepada City kali ini tidak membuatkannya kecewa kecuali kekalahan kepada Fulham pada 15 Februari dan Burnley (14 Mac) sebelum ini.
Katanya, kekalahan kepada kedua-dua perlawanan berkenaan telah menyaksikan Everton kini terpaksa bergelut dalam memburu slot untuk beraksi di pentas Eropah musim depan.
“Kekalahan kepada kedua-dua pasukan ini (Burnley, Fulham), lebih dikesalkan berbanding kekalahan kepada City.
“Apa pun, ia nyata satu pengalaman terbaik untuk kami dan kami tidak menyesal tewas dan gagal ke separuh akhir kali ini.
“Kami masih ada lagi 10 perlawanan untuk diharungi bagi merebut slot beraksi di Eropah musim depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!