Pengusaha bas, van sekolah perlu patuhi SOP
SEREMBAN - Semua pengusaha bas dan van sekolah digesa agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang operasi mereka.
Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Seremban, S Silverrajoo berkata, pihaknya memandang serius dengan pematuhan SOP bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Menurutnya, selain daripada pihak pemandu, ibu bapa juga dinasihatkan supaya memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka sentiasa sihat.
"Setiap murid sekolah yang diambil, kita akan membuat pemeriksaan suhu badan dan memastikan mereka wajib memakai pelitup muka.
"Kita sangat bertegas dengan pemakaian pelitup muka, jika ada yang tidak pakai kita akan meminta penjaga mereka sediakan, tetapi kebanyakan murid patuh dengan pemakaian tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau ditemui selepas menghadiri program sumbangan makanan daripada Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin di pejabatnya.
Silverrajoo berkata, setiap van sekolah hanya dibenarkan mengambil 18 murid sahaja, manakala bas mengikut kapasiti tempat duduk dan murid dilarang berdiri.
Katanya, setiap kenderaan yang digunakan akan disanitasi selepas waktu operasi tamat.
Pada program tersebut, seramai 20 pengusaha bas sekolah Parlimen Rasah menerima sumbangan keperluan dapur bagi membantu meringankan beban.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!