MOT cadang lanjut tempoh pengecualian baharui cukai jalan

Wee Ka Siong - Gambar fail Bernama
Wee Ka Siong - Gambar fail Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang melanjutkan tempoh pengecualian pembaharuan cukai jalan kenderaan persendirian selama dua bulan lagi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, bagaimanapun, pemandu perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah sebagai persediaan menghadapi kerosakan kenderaan atau kemalangan jalan raya.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melakukan persiapan dan meminta melanjutkan lagi tempoh pembaharuan cukai jalan memandangkan masih ada lagi negeri yang mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

“Pada masa sama, kementerian sedang memikirkan satu cara yang berkesan untuk menyelesaikan secara berfasa kes-kes cukai jalan yang tidak berbayar sekali gus meredakan keadaan (kesesakan di kaunter JPJ) apabila buka nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong-Royong Belia bersama Pemimpin Parlimen Ayer Hitam di Parit Raja, di sini pada Ahad.

Pada 29 Januari lepas, Bernama melaporkan MOT mengumumkan pengecualian pembaharuan cukai jalan bermula 1 Februari hingga 31 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengehadkan operasi di kaunter JPJ.

Ka Siong juga berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pegawai dan anggota JPJ yang terlibat dengan rasuah sekali gus membersihkan nama agensi itu.

“Kami tidak akan berkompromi. Kami bukan melindungi sesiapa, biar siasatan dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab dan mereka yang akan menentukan kesahihan sesuatu aduan.

“Kalau benar berlaku, maka kami biarkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ambil tindakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Timbalan Pengarah JPJ Perlis direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah dan melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan.

Pada majlis itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada seorang ibu tunggal lima anak, Zaleha Selamat, 39. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!