'30 tahun tidak 'bersama' akhirnya duduk semeja'
KOTA BHARU – Setelah hampir 30 tahun tidak ‘bersama’ namun akhirnya Kerajaan Negeri Kelantan dapat ‘duduk semeja’ dengan kerajaan pusat terutamanya apabila ada di antara pemimpin negeri ini dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan satu sejarah juga apabila kesemua menteri dan timbalan menteri tersebut dikumpulkan dalam satu kumpulan untuk menggerakkan perancangan pembangunan negeri ini.
“Kita menteri-menteri dan timbalan menteri dari Kelantan menubuhkan satu jawatankuasa iaitu Majlis Bersama Pembangunan Negeri Kelantan. Semua menteri ada, timbalan menteri dan kita bersama menteri besar dan exco-exco kerajaan negeri.
“Kita sentiasa adakan perundingan untuk menyelaraskan pembangunan di seluruh negeri Kelantan. Selama 30 tahun kita tiada hubungan yang baik ini, namun selepas 30 tahun, kita bersyukur pusat dan negeri baik, bukan sahaja peringkat politik, malah peringkat pentadbiran.
“Ini penting untuk melancarkan pembangunan dalam musim Covid-19 ini supaya semuanya selari dan tiada perbezaan,”katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Mustapha menyampaikan taklimat kepada ketua-ketua agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melalui Program Malaysia Prihatin sesi bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Dewan Utama, Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Hadir sama menyampaikan ucapan dan taklimat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.
Mengulas lanjut mengenai Program Malaysia Prihatin, Mustapha memberitahu, program berkenaan merupakan inisiatif yang diambil kerajaan bagi memberi penerangan di seluruh negeri ini secara berperingkat mengenai pentingnya pengurusan pandemik Covid-19 dalam proses pemulihan ekonomi negara.
“Pelaksanaan Darurat membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengawal penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.
Mustapa dalam pembentangannya menyentuh lima fokus utama yang menjadi tunggak pemulihan ekonomi negara antaranya ialah mengawal penularan Covid-19 bagi membolehkan pembukaan semula ekonomi dan memperkukuhkan agenda keterangkuman agar jurang pembangunan antara wilayah dan jurang ekonomi dalam masyarakat dapat dikurangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!