HRPZ II berdepan masalah air sejak 10 tahun lalu

HRPZ II sudah mengalami masalah bekalan air sejak 10 tahun lalu.
HRPZ II sudah mengalami masalah bekalan air sejak 10 tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan diharap dapat menyegerakan pelaksanaan projek baik pulih bekalan air di negeri itu bagi memastikan keperluan penduduk tidak terganggu terutamanya kepada kakitangan dan pesakit di hospital.

Perkara tersebut disuarakan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali semasa taklimat Program Malaysia Prihatin sesi bersama pegawai kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di Dewan Utama, Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Ahad.

Dr Selasawati (tengah) ketika ditemui pemberita selepas taklimat di Dewan Utama Kompleks Kota Darul Naim pada Ahad.
Dr Selasawati (tengah) ketika ditemui pemberita selepas taklimat di Dewan Utama Kompleks Kota Darul Naim pada Ahad.

Beliau yang ditemui selepas taklimat tersebut memaklumkan, HRPZ II sudah berdepan masalah air sejak 10 tahun lalu sehingga memberi kesan kepada kakitangan, pesakit dan juga waris pesakit untuk melaksanakan tugas harian mereka.

Malah katanya, bekalan air hanya berada di capaian baik menjelang malam namun kembali berkurangan apabila waktu kemuncak terutamanya tengah hari.

“Setiap hari penggunaan air di hospital kita agak tinggi sehingga mencecah 500 gelen iaitu bersamaan dengan 1,893 liter.

“Kapasiti pesakit pula hampir 1,000 orang dan jumlah kakitangan pula seramai 4,000 orang, ini tidak termasuk jumlah waris pesakit yang menjaga dan mengunjungi hospital,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Selasawati berkata, bekalan air merupakan satu keperluan asas di hospital dan pihaknya berharap satu penyelesaian yang jelas dapat dilaksanakan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memberitahu, pihaknya yakin kerajaan sudah pun merancang dan merangka tindakan yang bersesuaian namun mungkin ia memerlukan solusi yang segera.

“Mungkin kerajaan memerlukan masa untuk satu fasa pemulihan bagi melaksanakan pembaikan ini secara menyeluruh. Perkara ini perlu disegerakan supaya ia memberikan kesan yang kita boleh nampak,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!