MP UMNO masuk Bersatu mungkin turun Semenyih
SEMENYIH - Tujuh Ahli Parlimen UMNO yang menyertai Bersatu mungkin akan turun membantu kempen PH dalam PRK DUN Semenyih yang akan bermula 16 Februari ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan pertemuan bersama mereka baru-baru ini, semuanya menyatakan komitmen untuk membantu parti dalam PRK kali ini.
“Mereka mungkin akan turun. Pertemuan yang dibuat baru-baru ini, mereka menyatakan komitmen dan ini platform pertama mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Menantu Bakhtiar calon PH di Semenyih
“Ia akan menguji kesetiaan dan keikhlasan mereka. InsyaALLAH mereka akan turun,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pengumuman Calon PH PRK DUN Semenyih di sini, petang tadi.
Selasa lepas, enam Ahli Parlimen Umno diterima menyertai Bersatu dan penyertaan mereka diumumkan sendiri Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menegaskan beliau tidak ambil pusing dengan bentuk kerjasama yang mungkin terjalin antara Pas dan BN bagi menghadapi PRK DUN Semenyih.
Tegas beliau, sebagai orang lama dalam politik, beliau mempersoalkan adakah akhirnya kedua-dua parti itu akan bergabung secara rasmi.
“Cuma saya berasa hairan. Pas berjuang untuk Islam, dia (Pas) tahu kerosakan yang berlaku pada Tabung Haji, Felda, 1MDB tapi masih nak bermesra (dengan BN).
“Saya harap pada PRK kali ini, pengundi akan menilai siapa mereka sebenarnya,” ujar beliau.
PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Februari sebagai Hari Penamaan Calon, Undi Awal pada 26 Februari dan Hari Mengundi pula pada 2 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!