Zii Jia wira negara: PM
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemenangan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang merangkul kejuaraan kejohanan badminton Seluruh England pada Ahad, sebagai wira negara.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata, kejayaan menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelson yang merupakan juara bertahan memberi makna besar dan suntikan motivasi Zii Jia,23.
"Kepada Zii Jia, jadikanlah kejayaan ini sebagai perangsang untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan," katanya.
Selain merakamkan ucapan tahniah kepada pemain berkenaan, ucapan sama turut diberikan kepada Persatuan Badminton Malah (BAM) dan barisan kejurulatihan.
"Perjalanan karier anda masih jauh. Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara," katanya.
Terdahulu, Zii Jia melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara kejohanan Seluruh England selepas menewaskan pemain handalan Denmark, Viktor pada aksi final di Birmingham.
Pada saingan yang berlangsung di Utilita Arena itu, Zii Jia menampilkan persembahan bertenaga apabila melakar kemenangan 30-29, 20-22, 21-9 dalam tempoh lebih sejam.
Dengan kejayaan tersebut, Zii Jia yang juga pemain nombor 10 dunia mengakhiri penantian Malaysia selama tiga tahun untuk menyaksikan pemain negara menjuarai piala tersebut.
Kali terakhir pemain Malaysia menawan bumi Birmingham adalah menerusi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai Seluruh England pada edisi 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!