Saksi kezaliman dan kekejaman

Pelarian kanak-kanak Syria bergambar di sebuah kem yang dibangunkan oleh Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) di perkampungan Kafr Lusin di sempadan Turki. - Foto AFP
Pelarian kanak-kanak Syria bergambar di sebuah kem yang dibangunkan oleh Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH) di perkampungan Kafr Lusin di sempadan Turki. - Foto AFP
A
A
A

JIKA mahu disoroti segala macam kezaliman yang berlaku kepada masyarakat Syria tanpa pembelaan sepanjang satu dekad ini, pasti akan benar-benar meruntun jiwa kemanusiaan kita semua.

Namakan sahaja - serangan senjata kimia, serangan bom tong barrel, pengepungan secara sitematik sehingga mengakibatkan kematian akibat kebuluran, segalanya telah atau sedang berlaku di Syria.

Penulis sempat melihat sendiri insiden di mana sejumlah 230 jasad ditemui telah ‘dibuang’ ke Sungai Kuweiq di Aleppo pada penghujung Januari 2013 ketika melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria kali kedua.

Jasad-jasad yang ditemui tersebut dikumpulkan oleh orang awam di dataran terbuka sebuah sekolah bagi proses pengecaman waris dan ahli keluarga.

Hampir kesemua jasad yang terbaring kaku mempunyai kesan tembakan di kepala mahupun kesan penyeksaan yang membawa kepada kematian seperti disimbah asid, dicungkil biji mata dengan sebahagiannya ditemukan masih lagi terikat tangan mereka.

Jujur sukar untuk penulis memproses kejadian yang berlaku di depan mata, namun ia seakan memberi tanda bahawa penulis perlu memikul beban untuk membela kezaliman yang berlaku ini tanpa tapi dan tanpa nanti.

Penulis juga pernah berkongsi di laman Facebook pengalaman melihat sendiri seorang kanak-kanak yang dibidik penembak tepat (sniper) dibawa ke Hospital Zarzoor, Aleppo dengan nyawa-nyawa ikan dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan mata penulis.

Di samping itu, tragedi yang paling sukar untuk penulis lupakan adalah ketika mana dijadual untuk merasmikan Sekolah Ain Jalut di Aleppo yang telah dibaikpulih hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Hari tersebut telah bertukar menjadi hari yang berdarah. 15 minit sebelum kami tiba, dua buah roket dilaporkan menyerang sekolah tersebut mengakibatkan lebih 30 orang pelajar termasuk guru-gurunya terkorban.

Sela masa hanya 15 minit! Nyawa penulis dan pasukan mungkin diselamatkan dengannya, namun pembelaan ke atas nyawa kanak-kanak yang datang ke sekolah untuk menimba ilmu sehingga kini masih dipandang sepi.

Begitulah gambaran gilanya peperangan yang berlaku di Syria.

Sehingga tiada siapa pun yang berani dan benar-benar mahu bersuara untuk menghentikan segala macam pencabulan kepada Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (International Humanitarian Law). Benar, penulis kecewa.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semenjak 2014 telah menghentikan kiraan jumlah kematian yang berlaku akibat peperangan di Syria dengan angka terakhir yang dicatatkan adalah seramai 250,000 pada tahun 2015 berbeza dengan apa yang dilaporkan oleh Syrian Centre for Policy Research yang melaporkan sejumlah 470,000 kematian telah dicatatkan sehingga Februari 2016.

Syrian Observatary for Human Rights pula melaporkan angka kematian sudah mencecah seramai 593,000 orang sehingga Disember 2020.

Pendapat penulis, ia hanya akan kekal menjadi angka yang tidak bermakna seandainya masyarakat dunia terus menerus gagal untuk mencapai kepada satu penyelesaian terbaik di dalam konflik Syria ini.

* Syahrir Azfar Saleh ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia for Syria merangkap Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang berpengalaman menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan ke Syria sejak tahun 2012.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!