Wang dihadiahkan waris jenazah lapan tahun lalu masih tersimpan

Shahid memuat naik gambar dompet dan wang yang diterima daripada waris jenazah lapan tahun lalu di laman Facebooknya pada Sabtu.
Shahid memuat naik gambar dompet dan wang yang diterima daripada waris jenazah lapan tahun lalu di laman Facebooknya pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga menemukan semula wang yang pernah dihadiahkan kepadanya selepas membantu membaiki sebuah van membawa jenazah yang rosak berhampiran premis perniagaannya lapan tahun lalu.

Shahid Yaakob, 45, berkata, wang yang disimpan sejak bertahun-tahun itu yang diberikan oleh seorang waris jenazah ditemui secara tidak sengaja di dalam dompet ketika dia mengemas barang.

Katanya, wang itu dihadiahkan pada tahun 2013 ketika dia berniaga aksesori kereta di Kuantan.

"Waktu saya bekerja di Kuantan, ada sebuah van dalam perjalanan hantar jenazah rosak berhampiran kedai saya.

"Disebabkan tidak pakar membaiki, kami panggil pomen (mekanik) datang malangnya tiada pomen yang sempat untuk datang ke lokasi berkenaan waktu itu. Jadi, kami berpakat untuk tolak van yang rosak itu ke premis perniagaan saya.

"Setelah diperiksa, rupa-rupanya suis di belakang kunci van rosak namun tiada barangan itu disediakan di kedai alat ganti kereta. Jadi, saya cuba sedaya upaya ubah suai suis itu sehingga ia boleh digunakan," katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Shahid berkata, pada awalnya dia enggan menerima wang dihadiahkan waris jenazah tersebut namun terpaksa menerimanya setelah puas dipujuk.

"Duit ini bukan upah tetapi hadiah pemberian daripada waris jenazah. Walaupun telah ditolak dengan sebaik mungkin, waris berkeras juga minta saya terima.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah saya tidak gunakan. Dompet itu pun saya masih simpan dan tak guna sehingga sekarang dah masuk lapan tahun sebab saya memang berniat untuk tidak gunakan duit itu. Tak sangka pula apabila belek dompet lama itu, masih tersimpan rapi duit yang dihadiahkan waris jenazah itu di dalamnya," katanya.

Sinar Harian difahamkan wang tunai berjumlah RM60 itu telah disumbangkan ke sebuah pusat tahfiz di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!