Kadar jangka pendek kekal stabil susulan operasi BNM
KUALA LUMPUR - Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil pada hari Isnin susulan campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional dianggarkan berjumlah RM41.29 bilion dan RM19.97 bilion untuk dana Islam.
BNM akan melaksanakan tiga tender pasaran wang konvensional yang masing-masing merangkumi tender bernilai RM2 bilion selama tujuh, 14 dan 31 hari.
Bank pusat juga akan meminta tender repo bernilai RM100 juta untuk tempoh 31 hari serta dua tender Qard masing-masing sebanyak RM2.5 bilion selama tujuh hari dan RM1.4 bilion selama 21 hari.
BNM turut mengendalikan tender repo berbalik bernilai RM740 juta selama 92 hari.
BNM telah mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula (SBBA) serta kemudahan Murabahah komoditi bercagar (CCM) untuk jangka masa satu hingga tiga bulan.
Pada jam 4 petang, bank pusat akan melaksanakan tender semalaman konvensional bernilai sehingga RM34.9 bilion dan RM15.1 bilion untuk tender semalaman Murabahah.
BNM berhak menolak bidaan bank untuk tender semalaman sekiranya kedudukan kecairan tidak dilaporkan sebelum jam 4 petang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!