Maqis rampas kurma lebih RM140,000

Maqis Selangor merampas 25,200kg kurma dari Arab Saudi dalam pemeriksaan di Pelabuhan Klang Barat, Sabtu lalu.
Maqis Selangor merampas 25,200kg kurma dari Arab Saudi dalam pemeriksaan di Pelabuhan Klang Barat, Sabtu lalu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan sebuah syarikat tempatan membawa masuk 25,200 kilogram (kg) kurma dari Arab Saudi, Sabtu lalu.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, rampasan dibuat di Pelabuhan Klang Barat, Selangor selepas pemeriksaan rutin dilakukan oleh pegawainya kira-kira jam 11 pagi.

"Kurma dianggarkan bernilai RM141,229.44 itu dirampas kerana tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan.

"Siasatan mendapati keseluruhan stok kurma itu tiba di pelabuhan berkenaan sejak 18 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kurma itu dipercayai untuk bekalan pasaran tempatan sempena Ramadan bulan depan.

Katanya, pihaknya serius menangani isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara.

Zamri menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!