Sorok pil kuda belakang isteri elak dicekup
PASIR PUTEH - Seorang lelaki sanggup menyorokkan 10 biji pil kuda di belakang isterinya yang baru habis berpantang bagi mengelak dicekup polis menerusi Op Tapis di sekitar jajahan ini pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu merupakan salah seorang daripada 25 individu yang ditahan dalam operasi tersebut.
"Hasil saringan air kencing yang dilakukan mendapati lelaki itu positif dadah, sementara isterinya negatif.
"Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, menerusi Op Tapis yang bermula pada jam 6 petang itu polis turut merampas 8.25 liter air ketum serta daun ketum seberat 0.5 gram.
Sheik Azhar berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun.
Katanya, polis akan terus melipat ganda Op Tapis dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat di negeri ini dari masa ke masa.
"Polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!