Datuk Seri didakwa cabul anak kandung sendiri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tiga pertuduhan guna kekerasan jenayah dengan niat mencabul dan mengaibkan kehormatan anak kandungnya dengan mengeluarkan kata-kata lucah, bermula tahun lalu.

Lelaki berusia 49 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas anak perempuannya, ketika itu 20 tahun, dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah di Taman Kosmo Jaya, Sentul antara jam 1 hingga 2 pagi, 16 Julai 2020 serta 12.45 tengah malam, 9 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan mangsa sama dalam kereta Mercedes di Sentul, pada jam 12.45 tengah malam hingga 1 pagi, 17 Julai 2020.

Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Joseindra Abu Senin mencadangkan, bagi kesemua pertuduhan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tertuduh juga diminta untuk memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi terutama mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

"Pihak pendakwaan mencadangkan jumlah itu, dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dipertuduhkan ke atas anak kandungnya sendiri.

"Kami juga memohon jaminan yang tinggi kerana kemampuannya dari segi kewangan yang mana status tertuduh sebagai seorang ahli perniagaan berjaya dengan memiliki beberapa kedai serbaneka di Lembah Klang," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, M Puravalen merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan dia memberi kerjasama baik kepada pihak polis, sejak bulan lalu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pasukan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 April depan sebagai sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!