Perlis benarkan jemaah rapatkan saf mulai esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ARAU - Perlis membenarkan saf antara jemaah di semua masjid seluruh negeri dirapatkan semula mengikut beberapa ketetapan bermula Selasa.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalalullail bertitah, ketetapan tersebut telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah melihat kepada keperluan sedia ada.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, kebenaran merapatkan saf turut diperkenankan atas tahap ketaatan serta kepatuhan tinggi seluruh rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan ditetapkan.

"Kebenaran merapatkan saf berdasarkan ketetapan, iaitu jemaah yang hadir bersama keluarga yang tinggal sebumbung boleh merapatkan saf sesama mereka.

"Jemaah mesti memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan sepertimana SOP kesihatan dan keselamatan ditetapkan," titah baginda dalam satu kenyataan pada Isnin.

Titah baginda, kebenaran ini terpakai untuk semua aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu termasuk solat Tarawih dan kuliah pengajian di semua masjid di seluruh Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kebenaran terbabit turut diperluaskan di surau asrama namun pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis masih tidak dapat diizinkan.

Baginda bertitah, seluruh rakyat diminta sentiasa mengutamakan integriti dan kejujuran dalam menjamin kelancaran pelaksanaan ketetapan yang terkandung dalam perutusan ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!