PDRM siap sedia sebarang kemungkinan: KPN

ABDUL HAMID BADOR
ABDUL HAMID BADOR
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan yang boleh berlaku susulan tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, semuanya berjalan lancar dan selamat.

"Tetapi yang penting pihak keselamatan tetap berjaga-jaga dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku. PDRM sentiasa siap sedia untuk berdepan segala kemungkinan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada Isnin.

Pada Ahad, Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song memberi peringatan keras terhadap Malaysia berhubung tindakan kerajaan dalam isu melibatkan rakyat warganegara republik itu.

Dalam kenyataannya kepada media sebelum keluar meninggalkan kedutaan, Yu Song berkata, Malaysia akan menerima akibat daripada tindakan yang dilakukannya kerana insiden tersebut telah menjejaskan kedaulatan negaranya.

Pada Jumaat, Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara.

Keputusan tersebut diambil selepas Korea Utara bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan Malaysia mengekstradisi seorang warganegaranya ke Amerika Syarikat (AS).

Kenyataan dari Wisma Putra berkata, Malaysia berhak untuk bertindak balas terhadap keputusan Korea Utara demi melindungi kedaulatan dan menjaga kepentingan negara.

Artikel Berkaitan:

Sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip keadilan, Kementerian Luar berkata, proses ekstradisi rakyat Korea Utara yang dikenali sebagai Mun Chol Myong itu dilakukan adalah berlandaskan undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!