Kontena sisa plastik tetap akan dipulangkan ke negara asal
IPOH - Kerajaan tetap akan memulangkan kontena disyaki mengandungi barang dagangan sisa plastik yang dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada Isnin (hari ini) ke negara asal selepas pemeriksaan dibuat.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya masih memantau pergerakan kontena tersebut yang sehingga kini masih belum tiba di Pelabuhan Klang seperti yang dijadualkan.
Menurutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bekerjasama dengan beberapa pihak untuk memastikan kontena dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu tidak dibawa keluar dari pelabuhan berkenaan.
"Kita sedang memantau (kontena), tapi asasnya kita akan pulangkan ke negara asal. Kita juga akan semak dokumen yang berkaitan dan situasi kapal kita belum pasti kedudukannya tetapi dalam pemantauan.
"Ssetakat ini satu kapal tetapi jumlah kontena kita tak pasti, tak ada maklumat. Kita dah maklumkan kepada pihak berkuasa Pelabuhan Klang supaya kontena tidak dibawa keluar dari kawasan pelabuhan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Isnin.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Pada 20 Mac lalu, Tuan Ibrahim mendedahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima maklumat daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lalu berhubung satu kontena dari Los Angeles yang disyaki mengandungi sisa plastik.
Kapal itu berlepas dari Los Angeles pada 14 Februari lalu dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 22 Mac.
Sementara itu, mengenai Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan, Tuan Ibrahim berkata, majlis tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac di Sungai Langat, Bandar Baru Bangi.
Katanya, sehubungan itu, KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di setiap negeri akan menganjurkan Program Jom Turun Sungai pada tarikh berkenaan secara serentak di seluruh negara.
Beliau berkata, objektif program tersebut untuk mengajak komuniti setempat membersihkan dan mengindahkan rizab sungai di kawasan masing-masing.
"Program ini juga adalah selari dengan Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK), bagi melestarikan sumber air melalui pendekatan nature-based solutions.
"Program Jom Turun Sungai di seluruh negara ini akan melibatkan aktiviti membersihkan persekitaran sungai, tebing, longkang, alur air dan memperbaiki denai sungai," katanya.
Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak seperti badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat, pelajar dan pihak berkuasa dalam program tersebut sangat digalakkan bagi memastikan kelestarian dan keindahan sungai serta mengawal aktiviti pencemaran sungai di seluruh negara.
TAMAT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!