Zii Jia bangkit selepas prestasi merudum

Siet Peng (kiri) dan Chee Hin menunjukkan gambar Zii Jia sewaktu zaman kanak-kanaknya semasa ditemui di rumah mereka di Taman Golf, Darul Aman Height, Jitra pada Isnin.
Siet Peng (kiri) dan Chee Hin menunjukkan gambar Zii Jia sewaktu zaman kanak-kanaknya semasa ditemui di rumah mereka di Taman Golf, Darul Aman Height, Jitra pada Isnin.
A
A
A

JITRA - Keputusan yang tidak memberangsangkan pada beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini menjadi titik tolak kebangkitan semula perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia untuk muncul juara Kejohanan Seluruh England 2021 pada Ahad.

Ibu pemain negara itu, Leow Siet Peng, 53, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak banyak bercakap dan banyak menilai prestasi semasanya selepas pulang dari Thailand pada Januari.

Menurutnya, bagaimanapun mereka terkejut selepas Zii Jia berjaya bangkit dengan cepat dan memberikan aksi terbaik terutama menewaskan pemain nombor satu dunia, Kento Momota pada peringkat suku akhir dengan keputusan 21-16, 21-19 dan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 pada perlawanan akhir Kejohanan Seluruh England 2021.

"Kejayaan ini adalah satu permulaan yang baik kepadanya dan kami berharap Zii Jia akan meneruskan usahanya untuk meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

"Seluruh keluarga gembira apabila Zii Jia membuat panggilan video kira-kira jam 12 tengah malam untuk menunjukkan piala kejohanan. Nampak keceriaan dan rasa puas di riak wajahnya selepas prestasinya merundum pada Januari lalu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Golf, Darul Aman Height, dekat sini pada Isnin.

Siet Peng (kiri) dan Chee Hin menunjukkan antara koleksi piala dan pingat yang dimenangi Zii Jia pada kejohanan sebelum ini ketika ditemui di rumah mereka di Taman Golf, Darul Aman Height, Jitra pada Isnin.
Siet Peng (kiri) dan Chee Hin menunjukkan antara koleksi piala dan pingat yang dimenangi Zii Jia pada kejohanan sebelum ini ketika ditemui di rumah mereka di Taman Golf, Darul Aman Height, Jitra pada Isnin.

Mengulas lanjut, Siet Peng yang juga Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa 2 Alor Setar berkata, kekuatan mental juga menjadi faktor kejayaan anaknya itu apabila bangkit membalas kritikan di media sosial.

"Selepas balik dari Thailand lebih kurang tiga minggu, memang kami tidak menyentuh tentang kejohanan yang dilalui kerana tidak mahu memberikan tekanan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian dia berlepas ke Kejohanan Terbuka Switzerland dan seterusnya ke Kejohanan Seluruh England. Memang kami tidak menganggunya dan kami lebih banyak berkomunikasi melalui jurulatihnya sahaja untuk mengetahui perkembangan semasa," katanya.

Sementara itu, bapanya, Lee Chee Hin, 54, pula berharap rakyat Malaysia terutamanya peminat badminton akan terus memberikan sokongan kepada Zii Jia baik semasa berada di puncak kejayaan ataupun sedang berada dalam prestasi sederhana.

Menurutnya, perjalanan karier anaknya sebagai pemain badminton profesional masih jauh dan sokongan daripada semua pihak sangat diharapkan.

"Saya pun terkejut Zii Jia berjaya bangkit dan melawan dengan baik pada perlawanan akhir menentang Axelsen pada Ahad," katanya.

Chee Hin berkata, beliau dan isterinya pernah merasai tekanan yang dilalui anaknya kerana mereka juga bekas atlet kebangsaan dalam sukan bola keranjang pada tahun 90-an.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!