Kedah bangga kejayaan Zii Jia
KERAJAAN Negeri Kedah merakamkan jutaan tahniah kepada pemain badminton negara, Lee Zii Jia setelah muncul juara Kejohanan Seluruh England 2021 pada Ahad.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebagai anak jati Kedah, Zii Jia bukan hanya mengharumkan nama Malaysia, malah membanggakan rakyat negeri itu.
"Selaku ketua kerajaan, saya dan seluruh kepimpinan negeri bangga dan tumpang gembira atas kejayaan beliau di persada dunia.
"Zii Jia memang layak merangkul kejuaraan itu atas usaha bersungguh beliau sebagai pemain profesional," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Muhammad Sanusi berkata, turut yakin Zii Jia mampu bergerak lebih jauh berdasarkan disiplin dan semangat juang tinggi yang dimiliki.
Atas pencapaian Zii Jia dalam kejohanan peringkat antarabangsa itu katanya, kerajaan negeri turut bercadang mengadakan majlis khas meraikan kejayaan Zii Jia dalam masa terdekat.
"Saya juga telah sembah maklum pencapaian Zii Jia pada perlawanan separuh akhir kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum perlawanan akhir.
"Baginda tuanku berdua sangat gembira dengan pencapaian itu. Baginda turut berkenan menonton perlawanan akhir yang penuh debaran semalam," katanya.
Muhammad Sanusi percaya sokongan keluarga Zii Jia antara faktor yang membuahkan kejayaan beliau.
Mengulas gambar beregu bersama pemain perseorangan lelaki negara itu, secara berseloroh Muhammad Sanusi berkata, "Itu pasangan beregu saya tapi dalam perlawanan persahabatan sajalah."
Katanya, gambar kenangan itu dirakam pada Disember tahun lalu ketika perlawanan persahabatan di Dewan Seri Mentaloon.
"Saya rasa ketika itu Zii Jia hanya guna 20 peratus keupayaan sebenar dia. Nama pun perlawanan persahabatan, bukan perlawanan sebenar," katanya.
Tambah Muhammad Sanusi, perlawanan persahabatan itu sekadar memeriahkan suasana dan menjemput Zii Jia sebagai menghargai sumbangan beliau kepada negeri ini.
"Saja suka-suka sambil riadah, dapat juga kita tunjukkan sokongan dan membakar semangat beliau untuk terus berjuang sebagai pemain profesional," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!