Dua anggota AADK cedera dirempuh

Salah seorang anggota penguat kuasa AADK yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Salah seorang anggota penguat kuasa AADK yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda cedera di kaki kanan dan jari kiri dalam satu operasi yang dijalankan di Taman Mewah di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasa dan Keselamatan AADK Kedah, Nasru'd-din Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi selepas menerima aduan hotline berhubung sarang penagihan yang aktif semula.

"Sebaik saja tiba di lokasi anggota AADK mendapati dua individu disyaki baru selesai menjalankan urusan jual beli dipercayai dadah. Salah seorang anggota turun untuk menahan kereta yang dipandu suspek manakala dua anggota lagi cuba menahan suspek, namun gagal kerana suspek mengundurkan kenderaan untuk melarikan diri.

"Anggota yang berada di sisi belakang dan depan kereta suspek iaitu Siti Karmiza Jamaludin, mengalami kecederaan di kaki kanan manakala seorang lagi Mustafa Kamal Musa mengalami luka di jari telunjuk sebelah kiri," katanya.

Menurutnya, selepas itu kesemua anggota menjalankan ujian saringan ke atas tiga lelaki yang berada di lokasi kejadian, namun keputusan didapati negatif.

"Namun dalam perjalanan balik, kereta suspek muncul semula sebelum menghilangkan. Dalam pada itu, anggota yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!