Rahman B bakal hidupkan semula pentas bangsawan
KUALA LUMPUR - Dalam dunia seni pementasan bangsawan tanah air, nama Rahman B atau nama sebenarnya Abdul Rahman Abu Bakar tidak perlu diperkenalkan lagi.
Setelah berdekad menghambakan diri dalam bangsawan, Seniman Negara ke-6 yang kini berusia 86 tahun itu bakal muncul sebagai pengarah pementasan bangsawan.
Perkara itu dimaklumkan bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim selepas beliau melihat seni budaya Melayu itu bagaikan sudah pupus ditelan arus zaman.
Menurutnya, usaha itu juga sebagai menghargai jasa tokoh bangsawan yang juga Seniman Negara ke-6 yang masih lagi giat memperjuangkan satu cabang seni teater itu.
Rais berkata, beliau selalu menzahirkan pandangan supaya masyarakat Malaysia wajib melihat ke belakang semasa negara terus menjangkau ke depan.
"Jadi dalam hal sedemikian yang menjadi ketinggalan bagi kita ialah seni pementasan, seni yang memberi harum nama kepada bangsa kita sudah tiada.
"Orang Melayu berjoget pun dah tak boleh, sedangkan tiada sentuh menyentuh pun. Akhirnya kita boleh menjadi bangsa yang tiada budaya. Ini ketakutan saya tetapi ramai pihak tidak berasa apa pun.
"Saya banyak melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung dengan bahasa, seni dan kebudayaan secara amnya terasa kalau orang macam Rahman B sudah berjasa begitu banyak berpuluh tahun patutlah kita ke depan dan cuba hidupkan (pentas bangsawan) kembali," katanya ketika melawat Rahman B di kediaman tokoh bangsawan itu di Kampung Baru bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar pada Isnin.
Mengulas lanjut, Rais Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, pementasan itu dirancang diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka manakala judul dan naskhahnya bergantung kepada tokoh bangsawan negara itu.
"Pementasan-pementasan itu dirancangkan diadakan hujung tahun ini atau pada awal tahun depan. (Judul dan naskhahnya) akan dipilih daripada enam naskhah dalam simpanan Rahman B," katanya.
Sementara itu, Rahman B pula berkata, beliau tidak pernah jemu membabitkan dirinya dengan dunia itu biarpun sudah lanjut usia dengan kudrat tidak segagah dahulu.
Baginya pementasan seni bangsawan mesti mengangkat sejarah negara menerusi kisah Kesultanan Melayu, pahlawan, anak derhaka dan lain-lain.
Beliau yang mewarisi seni bangsawan daripada bapanya, Abu Bakar Ismail atau Bakar M dan ibunya, Kasminah Taib yang lebih dikenali sebagai Minah B berkata, pementasan itu akan dibarisi dengan pelakon berkualiti dan berpengalaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!