PKB larang aktiviti berbasikal di Pintasan Saloma
KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) tidak membenarkan aktiviti mengayuh basikal dilakukan di Pintasan Saloma.
PKB menerusi satu kenyataan pada Isnin berkata, penunggang hanya dibenarkan menuntun basikal semasa melalui Pintasan Saloma itu bagi memastikan keselamatan mereka.
Katanya, langkah itu juga adalah bagi memastikan struktur sekitar kawasan berkenaan tidak rosak berikutan aktiviti berkenaan.
"Pintasan Saloma atau Saloma Link merupakan laluan pejalan kaki bertingkat ikonik sepanjang 370 meter dari Kampong Bharu ke Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) dengan mengetengahkan reka bentuk unik sirih junjung.
"Oleh demikian, PKB mohon kerjasama semua pengguna basikal yang melalui Pintasan Saloma agar bersama-sama mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya.
PKB mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas kepada laporan beberapa portal sebelum ini berhubung tindakan sebilangan penunggang yang masih melakukan aktiviti kayuhan basikal di Pintasan Saloma.
Dalam pada itu, PKB berkata, pihaknya juga berharap agar Pintasan Saloma dapat dijadikan sebagai ikonik pelancongan baharu buat pengunjung dari dalam dan luar negara.
"Marilah kita bersama-sama menjaga ikonik pelancongan baharu di Kuala Lumpur ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!