Bersih 2.0 gesa kerajaan tambah baik proses pelantikan hakim
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa kerajaan menambah baik proses pelantikan hakim memastikan pelantikan itu berdasarkan kualiti, tidak mendiskriminasi serta bebas.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam kenyataan berkata, gesaan berkenaan dibuat dalam pelancaran laporan kajian bertajuk “Memelihara Kebebasan Kehakiman: Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Pemecatan Hakim di Malaysia pada Isnin.
Menurutnya, laporan tersebut mendedahkan masih terdapat banyak ruang penambahbaikan bagi memelihara kebebasan proses pelantikan hakim termasuk dalam aspek peranan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
“Perdana Menteri mempunyai budi bicara mutlak untuk melantik lima daripada sembilan anggota JAC bahkan boleh, secara sah memperkukuh dan mengesahkan kuasa eksekutif dalam aspek-aspek penting dalam proses pelantikan kehakiman.
“Anggota JAC tidak mempunyai jaminan tempoh tugas kerana PM (Perdana Menteri) diberi kuasa untuk mencabut pelantikan mana-mana daripada empat orang terkemuka (eminent person) tanpa perlu memberikan sebarang alasan.
“PM bersendirian atau Ketua Hakim setelah berunding dengan Perdana Menteri, diberikan prerogatif oleh Perlembagaan untuk memulakan proses pemecatan dengan mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi melantik sebuah tribunal ad-hoc,” katanya pada Isnin.
Katanya, perkara itu menunjukkan kurangnya ketelusan dalam proses pelantikan anggota ke tribunal ad-hoc dan keseluruhan proses siasatan.
Justeru, Bersih 2.0 mencadangkan penambahbaikan kepada pihak kerajaan termasuk dari sudut peranan JAC, pelantikan dan kenaikan pangkat hakim, pelantikan suruhanjaya kehakiman, pemecatan hakim serta pelantikan Hakim Mahkamah Rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!