Vaksin Covid-19: Thailand mulakan ujian ke atas manusia
BANGKOK - Thailand pada Isnin memulakan ujian fasa pertama ke atas manusia menggunakan vaksin Covid-19 hasil buatan tempatan.
Vaksin itu dihasilkan secara kerjasama membabitkan Pertubuhan Farmasi Kerajaan (GPO), Jabatan Perubatan Tropika Universiti Mahidol dan Program for Appropriate Technology in Health (PATH).
Laman web The Nation melaporkan, fasa pertama ujian ke atas manusia membabitkan 210 sukarelawan berusia antara 18 dan 59 tahun, yang akan diberi dos vaksin paling rendah.
Fasa kedua, yang dijangka bermula Julai, merangkumi 250 sukarelawan berusia antara 18 dan 75 tahun.
GPO menjangkakan kajian itu selesai sebelum akhir tahun.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, vaksin berkenaan diharap dapat digunakan pada 2022.
Beliau berkata, vaksin itu memberikan Thailand satu lagi pilihan vaksin Covid-19 untuk digunakan.
Satu lagi vaksin 'ChulaCov19' dibangunkan Universiti Chulalongkorn, akan menjalani fasa ujian ke atas manusia pada akhir April atau awal Mei.
Pada Jun, Thailand merancang memulakan kempen vaksinasi menggunakan 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZeneca dihasilkan syarikat tempatan Siam Bioscience Co Ltd.
Thailand mencatatkan 73 kes baharu Covid-19 dengan satu kematian sejak 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 27,876 dan korban setakat ini seramai 91 orang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!