Maxis lantik Mokhzani sebagai Pengerusi baharu

Mokhzani
Mokhzani
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat telekomunikasi Maxis Berhad (Maxis) mengumumkan pelantikan Tan Sri Mokhzani Mahathir sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa 22 April 2021.

Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Maxis, Mohammed Abdullah K Alharbi berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda yang mengumumkan pengunduran dirinya daripada jawatan tersebut.

"Raja Arshad telah menjadi pengerusi dan pemimpin yang luar biasa di Maxis dan kami ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangannya yang berharga.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Mokhzani atas pelantikan barunya.

"Saya telah mengenali Tan Sri (Mokhzani) selama beberapa tahun dan kami yakin Maxis akan terus memainkan peranan penting dalam memajukan cita-cita digital negara di bawah kepimpinan dan bimbingannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Raja Arshad telah berkhidmat sebagai pengerusi Maxis sejak penyenaraian syarikat tersebut di Bursa Malaysia pada tahun 2009.

Mohammed Abdullah turut memaklumkan Raja Arsyad akan meneruskan khidmatnya di syarikat itu dengan menjadi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Maxis.

Sementara itu, Mokhzani dalam kenyataan sama turut melahirkan penghargaan terhadap kepimpinan, bimbingan dan sumbangan Raja Arsyad yang disifatkannya sebagai sangat besar kepada syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Mokhzani menyatakan keyakinannya terhadap kedudukan Maxis untuk membawa inovasi terkini kepada negara dalam era teknologi baharu.

“Kami berada di puncak era teknologi baru dan Maxis selalu berada di barisan hadapan dalam membawa inovasi baru kepada negara.

“Saya yakin bahawa sebagai penyedia penyelesaian terkemuka, Maxis akan memainkan peranan penting dalam memajukan kesalinghubungan dan agenda digital negara. Sekarang adalah waktu yang sangat mengujakan untuk Maxis.

“Saya juga menantikan peranan baru untuk bekerjasama dengan lembaga pengarah, pengurusan serta warga Maxis memandangkan kami kini sedang mempercepatkan cita-cita pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya.

Mokhzani kini sedang mempengerusikan Jawatankuasa Audit dan Risiko Maxis dan juga merupakan anggota Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Jawatankuasa Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia.

Beliau akan melepaskan peranannya sebagai Pengarah Bebas Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko sejurus selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 22 April 2021.

Antara pengalaman yang dimiliki Mokhzani dalam bidang korporat adalah merangkumi jawatan eksekutif utama di Pantai Holdings Berhad, THB Industries Berhad, Tongkah Holdings Berhad, Kencana Petroleum Berhad selain menjadi pengasas bersama Sapura Kencana Petroleum Berhad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!