Enam daripada 1,925 sampel kluster Kampung Hilir Sibu positif
SIBU - Hanya enam kes positif Covid-19 dikesan di Kluster Kampung Hilir di sini sepanjang gerakan pengesanan kes secara aktif (ACD) dijalankan selama tiga hari bermula 18 Mac lepas.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Dr Annuar Rapaee yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak berkata, keputusan itu didapati daripada 1,925 sampel yang diambil sepanjang operasi ACD itu.
Beliau berkata, sampel positif itu diperoleh pada hari pertama ACD manakala sampel yang diambil daripada penduduk pada hari kedua dan ketiga didapati negatif.
“Walaupun tidak banyak kes positif yang dikesan, penduduk kampung di Kluster Kampung Hilir masih perlu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan penularan Covid-19,” katanya menerusi penstriman langsung melalui laman Facebook beliau pada Isnin.
Operasi ACD itu dilancarkan selepas Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan kluster Kampung Hilir sebagai satu lagi kluster komuniti setelah seorang wanita berumur 22 tahun dari kampung berkenaan didapati positif penyakit itu pada 10 Mac.
Ia kemudiannya menular kepada 34 lagi penduduk. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!