Pesanan sifu buat Zii Jia
LEGENDA badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei berharap Lee Zii Jia dapat mengekalkan momentum semasanya selepas menjuarai Seluruh England di Birmingham pada Ahad.
Chong Wei percaya kejayaan Zii Jia menundukkan juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark, 30-29, 20-22, 21-9 selepas bertarung selama 74 minit pada kejohanan badminton tertua dunia di Utilita Arena, Birmingham itu akan membuka mata pemain lain.
Namun, menurut juara All England sebanyak empat kali itu, paling penting ialah kemenangan tersebut akan memberikan suntikan semangat yang amat diperlukan oleh Zii Jia selepas mempamerkan prestasi hambar dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
“Saya kagum melihat permainan hebat beliau semasa menentang Axelsen apabila mempamerkan serangan yang padu dan masih mampu bertahan dengan baik setiap kali pemain Denmark itu membuat serangan.
“Saya lihat keyakinan Zii Jia bertambah selepas beliau mengejutkan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun pada suku akhir dan gembira melihat beliau dapat mengekalkan momentumnya untuk menyingkirkan Axelsen pada final,” katanya.
Dalam pada itu, ikon badminton berusia 38 tahun tersebut menasihati Zii Jia agar bersabar serta kekal bertenang ketika menghampiri mata kemenangan selepas pemain berkenaan yang mendahului 18-14 pada set kedua membenarkan Axelsen mengejar mata sebelum bingkas untuk menang 22-20.
Bagaimanapun, Chong Wei yakin anak jati Alor Setar berusia 22 tahun itu akan lebih matang pada masa depan, khususnya untuk mengharungi temasya Olimpik Tokyo di Jepun pada Julai ini.
“Saya pasti jurulatihnya, Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock akan memberikan latihan yang lebih sukar untuknya sebagai persediaan menghadapi Olimpik,” kata Chong Wei yang merupakan Chef-de-Mission Malaysia ke Olimpik Tokyo.
Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu juga mengakui berasa bangga apabila melihat pemain berusia 22 tahun tersebut menjulang trofi kejuaraan berkenaan yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 2017 menerusi beliau sendiri.
“Kejayaan menjuarai All England merupakan satu legasi walaupun ada orang menganggap kejohanan itu hanya pertandingan biasa, tidak ada yang istimewa,” tambahnya.
Mengenai prestasi pemain lain, Chong Wei berkata beliau gembira melihat permainan bakat-bakat muda, khususnya beregu wanita yang meningkat naik Pearly Tan-M. Thinaah yang membuat kemunculan pertama di Birmingham namun berjaya menamatkan saingan di peringkat suku akhir.
“Saya harap kesemua mereka tidak akan mengalami sebarang kecederaan selepas ini selain dapat mengekalkan semangat juang yang tinggi,” katanya
Pasangan beregu itu yang baru sahaja menjuarai Terbuka Swiss menyasarkan untuk ke separuh akhir kejohanan tersebut namun dihampakan oleh beregu Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, 12-21, 22-20, 16-21.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!