Prolintas, SUKE konsisten pastikan kontraktor patuh SOP keselamatan

Prolintas
Prolintas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak Prolintas dan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) sentiasa mengingatkan kontraktor-kontraktor yang terlibat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), serta mengambil langkah-langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pihaknya menggalas tanggungjawab untuk membangunkan projek ini, dengan mengutamakan aspek keselamatan kerana lebih 90 peratus jajaran SUKE melibatkan kerja di tempat tinggi dan berada di atas jalan raya sedia ada serta trafik berkapasiti tinggi.

Menurutnya dalam satu kenyataan pada Isnin, antara langkah keselamatan yang diambil sebelum memulakan tugas adalah mengadakan sesi ‘tool box’ atau taklimat keselamatan setiap hari dan latihan penyelamat kecemasan bersama badan-badan keselamatan berkaitan secara berkala.

"Kami berusaha untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap tepat pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi.

“Bagaimanapun, insiden yang berlaku ini amat mendukacitakan dan Prolintas akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, serta menambahbaik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada.

"Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat di dalam insiden kemalangan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, dua pekerja kontraktor maut, seorang lagi tersangkut dan seorang pemandu kereta cedera parah dalam insiden struktur besi 'kren launcher' pembinaan lebuh raya terjatuh di Persiaran Alam Damai Cheras di sini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya mendapati struktur besi 'kren gantri' pembinaan lebuhraya jatuh ke bawah dan menghempap sebuah kereta Bezza.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian melibatkan enam mangsa, yang mana tiga daripadanya terkorban, seorang pemandu kereta cedera parah kerana keretanya dihempap 'kren gantri', manakala dua orang lagi terselamat.

"Tiga mangsa lagi merupakan pekerja projek pembinaan tersebut dipercayai dua orang telah terjatuh dan telah disahkan meninggal dunia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!