Fungsi UNHCR sudah menyimpang

No Image Caption
A
A
A

SURUHANJAYA Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) adalah agensi yang dimandatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antara lain untuk melindungi pelarian, membantu penghantaran pulang, integrasi tempatan atau penempatan semula pelarian di negara ketiga.

Sejarah UNHCR di Malaysia bermula dengan krisis susulan perang saudara di Vietnam apabila pada tahun 1975, Malaysia membenarkan UNHCR membuka pejabat dan menjadi agensi utama yang bertanggungjawab untuk menguruskan pelarian Vietnam dan penempatan mereka di negara ketiga.

Sejak itu dan selama hampir 46 tahun UNHCR beroperasi di Malaysia.

Namun melihat pelbagai tindakan semasa UNHCR, sudah sampai masanya untuk Malaysia mengkaji semula kedudukan pertubuhan itu dan memutuskan sama ada ia masih perlu diizinkan terus beroperasi atau diarahkan menutup pejabatnya.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan UNHCR sudah menjadi ‘kerajaan dalam kerajaan’ atau ‘Kementerian Dalam Negeri Untuk Pelarian’ − menyelaras dan menyelia kebajikan serta menjaga hak asasi pelarian.

Mengikut statistik UNHCR, sehingga akhir Januari 2021, Malaysia menjadi tuan rumah kepada 178,710 pelarian dan pencari suaka (ini baru pelarian yang berdaftar).

Pelarian Rohingya kini menjadi yang paling ramai dengan 102,350 orang pelarian. Malah, pelarian Rohingya menunjukkan kenaikan paling mendadak daripada 56,000 orang pada tahun 2017 kepada 101,584 orang pada tahun 2020.

Sepatutnya, tugasan utama UNHCR ialah berusaha menempatkan pelarian ini ke negara ketiga. Namun, untuk tempoh Januari-Julai 2020, ia hanya mampu menempatkan 317 pelarian Rohingya di negara ketiga.

Artikel Berkaitan:

Jelas, fokus utama pertubuhan tersebut kini ialah mengeluarkan kad UNHCR untuk membolehkan dan mempermudahkan pelarian untuk terus tinggal di Malaysia.

Kad UNHCR seolah-olah sudah setaraf dengan Kad Pemastautin Tetap (MyPR) yang cukup kebal untuk pelarian. Malah, pertubuhan itu sendiri telah mengatakan Kad UNHCR yang dikeluarkannya tidak akan ditarik balik walaupun pelarian terlibat dalam jenayah.

Betapa kebalnya kad UNHCR!

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud pernah mendedahkan bahawa terdapat persetujuan bahawa kad UNHCR yang mahu dikeluarkan perlu mendapat kelulusan imigresen dan polis terlebih dahulu.

Sebaliknya, pertubuhan itu dikatakan memberi pelbagai alasan tidak mahu kehadiran penguat kuasa negara ini semasa pemprosesan kad UNHCR.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menyuarakan kegusaran kerajaan kerana tidak tahu jumlah sebenar pemegang kad UNHCR memandangkan angka pemegang kad yang sepatutnya tidak berganjak dan kekal, sebaliknya menunjukkan peningkatan.

Juga, tindakan UNHCR kini seperti bekerjasama dengan kumpulan hak asasi manusia, peguam hak asasi manusia dan terbaru memeteraikan perjanjian dengan Asylum Access Malaysia untuk memastikan hak pelarian terbela menunjukkan UNHCR telah menyimpang jauh daripada tujuan asal.

UNHCR kini lebih berperanan memastikan Malaysia menjadi negara penempatan pelarian. Inilah yang mendorong pelarian untuk terus datang ke Malaysia.

Campur tangan badan antarabangsa itu dalam urusan dalaman negara kita juga sudah semakin menjadi-jadi apabila mereka mula berani menyuarakan ketidakpuasan kerana tidak dibenarkan meninjau pusat pendatang asing dan pelarian.

Malaysia bukanlah penandatangan dan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian.

Dengan tidak meraktifikasikan kedua-dua piagam tersebut, dari segi undang-undang Malaysia tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab untuk pelarian yang datang atau berada di negara ini.

Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, sudah sampai masanya untuk Malaysia bersikap tegas dengan UNHCR.

* Norman Fernandez ialah seorang pengamal undang-undang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!