Jangan berbangga dapat tipu polis, permainkan undang-undang

Laporan Sinar Harian kes pasangan suami isteri 'instafamous' yang dikatakan berbulan madu dan menyalahgunakan kebenaran rentas negeri dan melanggar SOP ketika PKP.
Laporan Sinar Harian kes pasangan suami isteri 'instafamous' yang dikatakan berbulan madu dan menyalahgunakan kebenaran rentas negeri dan melanggar SOP ketika PKP.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengamal undang-undang mengingatkan rakyat supaya tidak sewenang-wenangnya mempermainkan undang-undang dan turut berbangga jika dapat melanggar perlembagaan yang ditetapkan tanpa dikenakan tindakan.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, undang-undang adalah peraturan yang dikuatkuasakan untuk kebaikan semua pihak.

“Maka sesiapa yang sengaja melanggar peraturan yang dikuatkuasan sewajarnya dihukum. Mereka yang sengaja mencari publisiti dengan melanggar undang-undang perlulah dikenakan balasan yang setimpal,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, lagi pihak berkuasa termasuk barisan hadapan telah berkorban masa dan tenaga serta menggadaikan kesihatan dan nyawa mereka demi kepentingan masyarakat.

“Maka pihak yang sengaja melanggar undang-undang, malah berbangga kerana berjaya menipu pihak berkuasa, adalah golongan yang tidak menghargai pengorbanan barisan hadapan.

“Ini bukanlah sikap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan peka serta sensitif perasaan orang lain, malah golongan yang menipu pihak berwajib seperti memberi maklumat palsu telah melakukan kesalahan yang besar,” katanya.

Katanya, apabila individu itu mengaku telah menipu pihak berkuasa, itu boleh menjadi pengakuan salah dan perlu menerima hukuman.

“Sikap berbangga kerana berjaya melanggar undang-undang sepatutnya dihukum dengan hukuman yang setimpal supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain dan tidak mengulangi perbuatan yang sama," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri 'honeymoon' palsukan keterangan

Khairil Azmin mengulas mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab sepasang suami isteri yang mendedahkan di media sosial mereka berjaya merentas negeri untuk menyambut bulan madu di Johor.

Posting pasangan tersebut menjadi tular sebelum polis memanggil mereka untuk memberikan keterangan.

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihak polis mendapati wujud keraguan berdasarkan keterangan kononnya pasangan itu ke Johor atas urusan perniagaan.

Sementara itu, peguam Mohd Firdaus Mohd Razi berkata, dalam undang-undang ia telah tersedia dengan penguatkuasaaan dan sebarang kemungkinan akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian situasi dan keadaan.

“Namun, janganlah pula ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan demi kepentingan sendiri.

“Tindakan yang dikenakan terhadap pesalah, adalah untuk memastikan pematuhan perjalanan undang-undang dan peraturan kawalan terhadap pergerakan rakyat dalam negara itu sendiri dikala usaha mengekang pandemik Covid-19 ini dan bukanlah ingin menyusahkan orang ramai.

“Jangan pula nanti apabila kerajaan mula kuatkuasakan undang-undang lebih ketat, ramai pula nanti yang merugut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!