Nasib Netanyahu di hujung tanduk

Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan protes berhampiran kediaman Netanyahu pada Sabtu lalu. - AFP
Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan protes berhampiran kediaman Netanyahu pada Sabtu lalu. - AFP
A
A
A

ISRAEL akan mengadakan Pilihan Raya Umum Keempat dalam tempoh dua tahun selepas parti politik di negara itu bergelut untuk mengekalkan kuasa di bawah kerajaan gabungan yang goyah.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang merupakan pemimpin paling lama berkhidmat dan imejnya tercalar dek skandal rasuah berharap untuk meraih satu lagi kemenangan pada pemilihan yang berlangsung pada Selasa.

Kedudukannya kini mungkin tergugat selepas perbicaraan kes rasuah ke atasnya masih berlangsung selain berdepan siri protes mingguan antikerajaan yang menggesa pengundurannya sejak beberapa bulan lalu.

Pada tiga pilihan raya terdahulu yang diadakan antara April 2019 dan Mac 2020, parti Likud pimpinan Netanyahu gagal untuk meraih majoriti dan mempengaruhi parti lain untuk membentuk kerajaan gabungan bersamanya.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Benny Gantz yang memimpin parti Biru dan Putih akhirnya termakan pujukan Netanyahu untuk bergabung dengan parti beliau bagi membentuk kerajaan perpaduan kecemasan.

Di bawah perjanjian selama tiga tahun itu, Netanyahu akan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama 18 bulan dan kemudiannya akan diambil alih oleh Gantz untuk tempoh yang sama.

Kerajaan gabungan itu namun hanya bertahan selama beberapa bulan berikutan Knesset gagal mencapai kesepakatan untuk meluluskan bajet hingga menyaksikan Parlimen dibubarkan pada 23 Disember 2020.

Perjanjian bergabung dengan Netanyahu itu juga menyaksikan populariti Gantz jatuh merudum ketika ini malah beliau juga digesa banyak pihak supaya menarik diri daripada pemilihan tersebut, namun ditolak pemimpin terbabit.

Artikel Berkaitan:

Keputusan kaji selidik baru-baru ini menunjukkan Netanyahu dijangka dapat meraih antara 28 dan 31 daripada 120 kerusi di Knesset mendahului pesaingnya, pemimpin pembangkang, Yair Lapid yang memimpin parti Yesh Atid yang diramalkan memenangi 18 kerusi secara purata.

Jika mahu memenangi majoriti 61 kerusi, pemimpin terbabit mungkin memerlukan sokongan daripada dua parti nasionalis ‘hardline’ yang menentang keras tuntutan hak Palestin sebagai sebuah negara.

Salah satunya adalah Yamina yang dipimpin jutawan teknologi, Naftali Bennett yang berulang kali mengkritik beliau ketika berkempen termasuk kelemahan Netanyahu dalam mengendalikan krisis Covid-19.

Dari kiri: Lapid, Bennett, Netanyahu, Sa’ar dan Gantz yang akan berentap pada Pilihan Raya Umum keempat Israel.
Dari kiri: Lapid, Bennett, Netanyahu, Sa’ar dan Gantz yang akan berentap pada Pilihan Raya Umum keempat Israel.

Namun, ‘protege’ kepada perdana menteri berusia 71 tahun itu tidak menolak kemungkinan untuk menyertai kerajaan gabungan bersama beliau.

Netanyahu yang semakin terdesak turut menyokong pakatan baharu, Religious Zionism yang disertai ekstremis, Itamar Ben-Gvir yang menyokong pembunuhan 29 penduduk Palestin di Hebron pada 1994.

Pemilihan pada kali ini, Netanyahu yang berdepan desakan berundur bakal berdepan tiga pesaing utama iaitu Bennett, Lapid dan bekas anggota parti Likud, Gideon Sa’ar yang berharap dapat menyingkirkan beliau selepas menubuhkan parti Harapan Baharu.

Janji merapu

Pada Sabtu, Netanyahu berjanji untuk melancarkan penerbangan terus dari Tel Aviv ke Makkah jika beliau menang pada pilihan raya tersebut.

Janji kontroversi itu dinyatakan ketika wawancara bersama Channel 13 dan turut menyatakan hubungan Israel dengan Arab Saudi adalah ‘normal’ selepas konflik baharu tercetus bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) sehingga Abu Dhabi bertindak membatalkan mesyuarat bersama beliau.

UAE dilaporkan berang kerana Netanyahu didakwa mengeksploitasi perjanjian damai untuk kempen pemilihan semula pemimpin terbabit.

Ketika ini, kira-kira 300,000 penduduk Palestin masih dilarang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Israel kerana mereka tidak dianggap sebagai penduduk seperti komuniti pendatang haram Yahudi.

Penduduk Palestin hanya dibenarkan untuk memilih ahli majlis perbandaran dan tidak dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum melainkan jika mereka memperoleh hak kerakyatan.

Situasi kompleks dihadapi penduduk Palestin itu dijangka bertambah buruk memandangkan rejim Tel Aviv bakal mengadakan Pilihan Raya Umum keempat dan disusuli Pilihan Raya Umum Palestin yang pertama dalam tempoh 15 tahun dijadualkan pada Mei dan Julai depan.

Sejak beberapa tahun lalu, ribuan penduduk Palestin di wilayah itu terpaksa memohon hak kerakyatan demi untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Trend itu dikatakan semakin meningkat sejak bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara’ Israel secara unilateral pada Disember 2017.

Pada tahun berikutnya, kira-kira 1,064 penduduk Palestin di wilayah yang menjadi pertikaian itu membuat permohonan tersebut dan angka itu terus meningkat kepada 1,633 pada 2020.

Enggan terpengaruh

Nour Dwayyat yang memperoleh kerakyatan kira-kira lima tahun lalu mendakwa dia menggunakan haknya pada tiga Pilihan Raya Umum Israel sebelum ini dan merancang untuk menunaikan tanggungjawab sama pada tahun ini.

“Saya tinggal di wilayah ini dan ia adalah hak saya untuk mengundi. Setiap undi dikira dan saya akan mengundi calon yang bertindak untuk kebaikan komuniti Arab,” ujar guru berusia 34 tahun itu.

Sementara itu, peguam, Amer Nasser yang diberikan hak kerakyatan beberapa tahun lalu menegaskan dia tidak akan terpengaruh dengan janji kosong Netanyahu.

“Saya akan tetap mengundi untuk Senarai Bersama Arab,” katanya merujuk kepada pakatan yang disokong komuniti Arab Israel yang meliputi satu perlima populasi di wilayah terbabit.

Menurutnya, Netanyahu hanya berminat dengan dasar hubungan luar.

“Beliau tidak begitu berminat untuk berdamai dengan penduduk Palestin walaupun pada hakikatnya mereka adalah penduduk asal di Baitulmaqdis. Saya berharap undi saya dapat membawa ‘keamanan’ antara penduduk Israel dan Palestin,” ujarnya lagi. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!