Suka sama suka punca jadi mangsa rogol
KUALA LUMPUR - Mahu menunjukkan rasa kasih dan sayang tanpa batasan menjadi salah satu punca berlakunya kes rogol.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan rekod yang diterima sejak tahun 2019 hingga Februari tahun ini, sebanyak 80 peratus kes rogol berlaku disebabkan suka sama suka.
Menurutnya, isu ini timbul apabila ia didorong dengan sikap tidak kisah individu itu sendiri.
“Statistik mangsa yang direkodkan bagi tempoh itu mendapati kanak-kanak berusia 13 hingga 15 tahun adalah paling tinggi dengan 1,604 kes diikuti usia 16 hingga 18 tahun dengan 661 kes.
“Kategori umur di atas 18 tahun pula sebanyak 563 kes, 10 hingga 12 tahun (178 kes), enam hingga sembilan tahun (36 kes) dan bawah 6 tahun (14 kes),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bukit Aman baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Siti Kamsiah berkata, majoriti suspek bagi kes sedemikian adalah terdiri daripada mereka yang dikenali sama ada teman lelaki, kenalan baharu atau seumpamanya.
“Modus operandi kes ini bermula selepas mangsa berkenalan dengan suspek kemudian keluar bersama hingga mula timbul perasaan sayang antara satu sama lain.
“Akhir sekali apabila kononnya mahu membuktikan cinta, mangsa telah menyerahkan diri hingga melakukan hubungan seks.
“Di sini ia menjadi kes rogol dan boleh disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana melibatkan mangsa perempuan di bawah umur 16 tahun. Undang-undang mengatakan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan perempuan di bawah 16 tahun walaupun dengan kerelaan adalah satu kes rogol,” jelasnya.
Dalam pada itu, Siti Kamsiah berkata, kebanyakan kes rogol melibatkan mangsa bawah umur 16 tahun ini tiada elemen paksaan.
Katanya, kebanyakan mangsa jenayah rogol ini berusia 13 hingga 15 tahun yang mana usia ini adalah lingkungan umur yang mudah terdorong untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Tambahnya, bila ada pelaku mengajak kononnya hendak menunjukkan rasa sayang dan menganggap mangsa seorang yang istimewa serta menjanjikan sesuatu seperti mahu berkahwin serta hidup bersama sekali gus mendorong mereka melakukan hubungan seks.
“Kita lihat trend jenayah rogol di Malaysia sejak akhir-akhir ini bukanlah seperti mangsa ditangkap secara rambang, diculik, dikurung kemudian perkosa, tidak ada sebegitu. Kini, ia lebih kepada keruntuhan masalah moral.
“Sebenarnya peningkatan kes rogol ia macam trend di mana budak-budak sekarang gemar merakam apa yang dilakukan mereka. Hubungan seksual itu dirakam semasa sedang seronok kerana sikap mereka yang berasa bangga apabila dapat melakukan sesuatu yang mendahului rakan-rakan yang lain tanpa mengambil kira perbuatan itu buruk atau baik, sebaliknya lebih kepada hendak menunjuk dalam kalangan rakan.
“Budaya sekarang siapa dapat like yang banyak dan siapa paling ramai pengaruh. Selepas rakam, tunjukkan kepada rakan bahawa dirinya sudah advance daripada rakan yang lain,” kata beliau.
Jelas Siti Kamsiah, akhirnya mangsa pula akan ‘diserahkan’ kepada kenalan lain dan apabila mangsa enggan melayan kehendak, suspek akan ugut untuk menyebarkan video.
“Ini yang kemudiannya menjadi kes rogol berkumpulan di mana suspek akan mengajak rakannya untuk melakukan seks bersama mangsa.
“Mangsa kebiasaan akan buat laporan polis apabila sudah terganggu emosi sehingga ada yang mempunyai kecenderungan hendak membunuh diri, kemurungan dan lain-lain lagi. Impaknya amat besar dari sudut psikologi mangsa dan juga trend jenayah di Malaysia,” kata beliau lagi.
UMUR KES
Bawah 6 tahun = 14
6 hingga 9 tahun = 36
10 hingga 12 tahun = 178
13 hingga 15 tahun = 1,604
16 hingga 18 tahun = 661
18 tahun ke atas = 563
* Statistik kes rogol bagi tempoh tahun 2019 hingga Februari 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!