Vaksin Sinovac selamat, cetus antibodi pada kanak-kanak
BEIJING – Vaksin Covid-19 Sinovac Biotech lebih selamat dan mampu memberi tindak balas imun dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kata syarikat itu pada Isnin.
Menerusi laporan Reuters, data awal diperoleh daripada ujian klinikal Tahap I dan II yang melibatkan lebih daripada 500 orang berusia antara tiga dan 17 tahun yang menerima dua suntikan sama ada dos vaksin sederhana atau rendah atau plasebo.
Seorang penyelidik dari syarikat itu, Dr Zeng Gang pada satu persidangan di Beijing berkata, tindak balas buruk didapati adalah ringan.
Tahap antibodi yang dicetuskan oleh CoronaVac Sinovac lebih tinggi daripada yang dilihat pada orang dewasa berusia lingkungan 18 hingga 59 tahun dan pada orang tua dalam ujian klinikal sebelumnya, kata Dr Zeng.
Tambahnya, bagi kanak-kanak berumur tiga hingga 11 tahun, dos yang lebih rendah boleh menyebabkan tindak balas antibodi yang baik dan dos sederhana juga berfungsi dengan baik untuk mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun.
Difahamkan, ujian Tahap III Sinovac dilaksanakan di luar negara yang menjalani ujian kemampuan vaksin untuk mencegah penyakit Covid-19 setakat ini belum termasuk kanak-kanak di bawah umur.
Syarikat itu juga sedang menguji penggalak ketiga dalam percubaan klinikal yang berpusat di China dengan peserta diberi dos ketiga sekitar lapan bulan setelah menerima yang dos kedua.
Sinovac telah membekalkan 160 juta dos vaksin ke-18 negara dan wilayah termasuk China dengan lebih 70 juta dos diberikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!